top of page
  • zaman

Hujan lebat, air pasang besar punca banjir kilat di Johor Bahru


JOHOR BAHRU,3 Ogos: Hujan lebat tahap merah serentak dengan air pasang besar menjadi antara punca banjir kilat di beberapa kawasan di Bandaraya Johor Bahru semalam.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata walau bagaimanapun Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah mengambil tindakan segera selain tindakan jangka pendek dan panjang dalam menangani isu banjir kilat sedemikian.


Mengulas lanjut, katanya hujan lebat dengan kadar intensiti hampir 100 milimeter (mm) bermula pada jam 1.40 petang, serta air pasang tinggi dengan ketinggian 3.3 meter pada jam 1.55 tengah hari menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air.

Beliau berkata berdasarkan kategori bacaan tahap intensiti air hujan, kadar melebihi 60 mm adalah di dalam kategori sangat lebat atau 'tahap merah'.


Menurutnya susulan jangkaan air pasang tinggi semalam, pintu Air Sungai Segget telah ditutup bermula pada jam 10.51 pagi iaitu tiga jam sebelum paras air pasang tinggi, manakala sistem pam dan 'tidal valve' di muara Sungai Chat, Parit Utama Abdul Samad dan Sungai Ayer Molek telah berfungsi dengan baik semasa kejadian.


"MBJB telah melaksanakan beberapa tindakan segera termasuk turun ke tapak sewaktu hujan lebat bagi memastikan pam-pam utama berfungsi dengan baik serta memantau kawasan yang terlibat dengan banjir kilat.


Selain itu katanya memandangkan kejadian banjir lumpur baru-baru ini juga disebabkan oleh projek pembangunan oleh pihak pemaju, MBJB telah mengarahkan mereka membuat kawalan kerja tanah dengan segera.


Hujan lebat selama dua jam sejak jam 12.30 tengah semalam telah menyebabkan beberapa jalan utama di bandar raya ini dinaiki air antaranya Jalan Ayer Molek, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Kolam Air, Jalan Yahya Awal, Hospital Sultanah Aminah (HSA), Jalan Sungai Chat serta Persiaran Abu Bakar, yang mengakibatkan lebih 500 kenderaan terjejas.

bottom of page