top of page
  • newsatmy

Ibu rahsia situasi banjir supaya Nur Fatihah fokus kejohanan bola baling kebangsaan

22 Disember 2021

ISKANDAR PUTERI: Tidak mahu Nur Fatihah Abdul Aziz hilang fokus ketika mewakili Selangor dalam Kejohanan Bola Baling Kebangsaan Bawah 20 Tahun di sini, ibu pemain sayap kanan itu merahsiakan situasi banjir yang berlaku di kediaman mereka di Permatang Pasir, Banting, Selangor.


Nur Fatihah, 18, berkata ibunya memaklumkan kediamannya telah dinaiki air sehingga ke paras buku lali pada 7 pagi, Ahad lalu dengan peralatan rumah, buku dan pakaian antara yang rosak akibat banjir.


"Namun, ibu tidak mahu maklumkan situasi terkini, kerana mahu saya beri tumpuan sepenuhnya kepada kejohanan," katanya kepada pemberita di Stadium Tertutup EduCity di sini.

Pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting itu berkata ahli keluarga dan rakan-rakannya juga tidak berkongsi dengannya mengenai perkembangan situasi banjir itu.


"Ketika perlawanan bagi penentuan tempat ketiga dan keempat, saya hilang sedikit fokus kerana teringat keadaan rumah, tetapi mujurlah ibu bapa dan dua adik yang lain baik-baik sahaja," katanya yang berjaya menjaringkan lebih 10 gol dalam enam perlawanan di kejohanan itu.


Meskipun emosinya terganggu berikutan banjir itu, Nur Fatihah berjaya membantu pasukannya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan akhir kejohanan berkenaan.


Pada kejohanan yang bermula 16 Dis dan berakhir semalam itu, pasukan Kuala Lumpur menjadi johan, diikuti Pahang di tempat kedua dan Terengganu (ketiga) bagi kategori lelaki, manakala kategori perempuan dimenangi pasukan Johor diikuti Terengganu dan Selangor.


Sementara itu, pemain pivot Kuala Lumpur Ahza Syafiq Daniel Ali, 19, berkata ibu dan bapanya terus memberikan sokongan dan semangat walaupun rumah mereka di Padang Jawa, Shah Alam, Selangor dinaiki air sehingga paras bumbung.


"Ibu dan ayah saya ada bersama di sini untuk memberi sokongan...ayah tetap bagi semangat supaya saya fokus kepada kejohanan ini, banjir boleh difikirkan kemudian selepas tamat perlawanan," katanya.



-- BERNAMA

Comments


bottom of page