top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Idea-idea Penyatuan diusulkan Muhyiddin kini dimeterai satu MoU rasmi – Wan Saiful

14 September 2021

KUALA LUMPUR: Tidak ada lagi sesiapa yang akan mengugut kerajaan demi kepentingan peribadi selepas persefahaman yang telah dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik, semalam.


Ketua Penerangan BERSATU Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata beliau gembira kerana semua prinsip-prinsip persefahaman yang dicadangkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Ogos lalu kekal menjadi landasan dalam gerak kerja kerajaan hari ini.


Ini kerana, katanya, idea-idea penyatuan yang awalnya diusulkan oleh Muhyiddin kini telah dimeterai sebagai satu persefahaman rasmi.


“Tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas keberanian, keihklasan dan kepimpinan beliau dalam meneruskan pelaksanaan rancangan tersebut dalam semangat Keluarga Malaysia yang ampuh.


“Sejak awal lagi kita mahukan kestabilan politik. Itu perkara paling penting bagi kita sebagai parti komponen Perikatan Nasional.


“Penghargaan juga kepada pembangkang yang mengubah pendirian mereka untuk kini menerima persefahaman ini. Sebelum ini mungkin mereka menolak sebab cuba mengejar kerusi Perdana Menteri.


“Tetapi hari ini kita semua boleh ketepikan dahulu perseteruan politik dan letakkan kepentingan rakyat di hadapan. Alhamdulillah,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Memorandum itu ditandatangani Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua parti PH di bangunan Parlimen di sini pada Isnin.


Dalam pada itu, Wan Saiful menjelaskan persefahaman yang tercapai itu bukan bermaksud pembangkang masuk dalam kerajaan.


Katanya, pembangkang kekal pembangkang dan masih perlu terus menjalankan tanggungjawab semak imbang dengan bertanggungjawab.


“Persefahaman ini juga tidak bermaksud pembangkang akan dilantik dalam badan atau agensi eksekutif selain daripada apa yang telah dipersetujui sahaja. Dan ia juga tidak bermaksud kerajaan boleh buat apa sahaja tanpa semak imbang.


“Persefahaman ini akan memastikan bahawa pembangkang tidak menyokong apa-apa usul yang boleh dilihat sebagai penolakan kepada kerajaan, tanpa menghilangkan kebebasan pembangkang untuk membawa idea-idea lain serta mempersoal kerajaan dalam perkara-perkara dasar.


“Saya gembira kerana bukan sahaja ia akan mewujudkan kestabilan, tetapi ia juga merupakan satu langkah ke hadapan dalam mematangkan demokrasi di negara kita.


“Alhamdulillah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berganding dengan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mula menunjukkan hasil dalam memastikan kestabilan politik demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran bersama untuk semua,” katanya.

bottom of page