• Arissa Azman

Iman Troye, Naim Daniel bertunang?

26 September 2021

TIADA angin, tiada ribut para peminat dunia hiburan tanah air dikejutkan dengan khabar 'pertunangan' dua penyanyi yang sedang melonjak naik namanya dalam industri seni, Iman Troye bersama Naim Daniel.


Lebih memeranjatkan apabila khabar itu dikongsikan Iman sendiri melalui kemas kini status di akaun Instagram miliknya, pada Sabtu.


Gambar yang dimuat naik kira-kira pukul 8.30 malam ini memaparkan Iman duduk di atas pelamin serba putih dengan memakai busana rona hijau.


Khabar angin itu terus hangat diperkatakan warga maya apabila penyanyi yang popular dengan lagu Teman itu memegang bunga tangan dan nama Naim ditandakan di atas jambangan tersebut.


Malah, Iman yang baharu berusia 19 tahun itu turut menaip status 'Alhamdulillah' pada imej tersebut.


Astro AWANI cuba menghubungi Iman Troye untuk bertanya lanjut sekali gus mengesahkan khabar angin itu, bagaimanapun penyanyi berkenaan tidak menjawab panggilan tersebut.


Dalam pada itu, menurut sumber terdekat Naim, khabar angin itu tidak benar dan ia hanya gurauan semata-mata.


“Naim dan Iman tidak bertunang...saya pun terkejut sebenarnya bila mengetahui perkara ini.


"Berita itu tidak benar dan saya rasa Iman hanya bergurau,” kata sumber yang mempunyai hubungan rapat dengan pelontar lagu Sumpah itu.


Terdahulu, Iman dan Naim pernah dikaitkan sedang bercinta tetapi kedua-dua penyanyi itu menafikan dan menjelaskan hubungan mereka sekadar 'abang dan adik'.


Tapi, kalau sudah jodoh tak kemana, betul tak? Kita doakan yang baik-baik sahaja untuk kedua penyanyi ini.