Inap desa Pulau Manis jana pendapatan Orang Asli Pos Balar
GUA MUSANG,25 Sept: Penat lelah masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar mengerah kudrat membina dan menyiapkan Inap Desa Pulau Manis di Kampung Dakoh, Pos Balar di sini, akhirnya berbayar apabila penginapan tersebut kerap menjadi pilihan pelancong yang datang ke kawasan pedalaman itu.
Inap desa yang terletak di pinggir Sungai Dakoh itu dibina daripada buluh dan kayu hutan bertujuan membawa identiti rumah asal masyarakat Orang Asli sekali gus mencipta pengalaman peribadi dan tarikan buat pelancong yang datang menginap.
Bercakap kepada pemberita, Pengurus Inap Desa Pulau Manis Ahmadi Jalil Biyor, 40, berkata inap desa berkenaan dibina hasil cetusan idea Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim.
"Inap desa ini dibina secara gotong-royong oleh komuniti Temiar di sini dua tahun lepas. Lebih 30 penduduk dari kampung sekitar Pos Balar iaitu Kampung Balar Lama, Kampung Dakoh, Kampung Peng dan Kampung Tembaga bergotong-royong membina inap desa ini.
"Tujuan utama ia dibina adalah untuk meningkatkan ekonomi kami di Pos Balar, pada masa yang sama mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak muda di kawasan ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Ahmad Jalil juga berkata kewujudan inap desa tersebut juga bakal dijadikan destinasi bagi pelancong dan pengunjung bukan sahaja untuk beriadah bahkan melihat sendiri kehidupan serta aktiviti Orang Asli di Pos Balar.
"Dengan bayaran serendah RM20 sehari, tidak mustahil tempat ini bakal mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pengunjung sekali gus menjadikan Kampung Dakoh berpotensi sebagai destinasi pilihan pelancong yang inginkan penginapan dalam suasana alam semula jadi yang tenang dan mendamaikan, termasuk air sungai yang jernih serta keadaan cuaca yang dingin," katanya.
Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata kewujudan Inap Desa Pulau Manis mencipta peluang kepada masyarakat Orang Asli di situ untuk menonjolkan keindahan flora dan fauna yang belum diteroka serta keunikan tradisi dan budaya yang sekali gus menggalakkan pembangunan sumber pendapatan masyarakat di Pos Balar.
Menurutnya lebih RM40,000 dibelanjakan setakat ini bagi kerja-kerja pembangunan dan penyelenggaraan yang dilakukan sekurang-kurangnya sekali setahun.
"Selain 11 rumah untuk disewa, inap desa ini juga lengkap dengan kemudahan ruangan solat, kawasan pertanian dan tandas yang cukup bagi menampung kesemua pengunjung di sini," katanya.
Mohd Syahbuddin berkata tugas pemantauan turut dilaksanakan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang bertindak menjaga dan menambah baik kemudahan asas di kampung sekitar Pos Balar seperti menyediakan tapak pertanian untuk Orang Asli menanam nanas MD2.
Bagi yang berminat menginap di inap tersebut boleh menghubungi Ahmadi Jalil di talian 017-9658967.
-- BERNAMA
Comentarios