• Arissa Azman

India kehilangan legenda filem Malayalam, Nedumudi Venu

13 Oktober 2021

INDUSTRI perfileman India menyenaraikan beliau sebagai antara bintang terbilang yang pernah dilahirkan negara itu.


Lebih 500 filem yang dibintangi sepanjang empat dekad kembara seninya menyebabkan pemergian Nedumudi Venu ke negeri abadi pada Isnin diratapi pemuja-pemujanya.


Mendiang Nedumudi menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun akibat komplikasi hati di sebuah hospital swasta di India.


Beliau juga dilaporkan pernah dijangkiti wabak COVID-19 pada awal tahun ini.

Sehari sebelum menutup usia, legenda perfileman Malayalam itu dilaporkan mengalami kesesakan nafas dan dikejarkan ke hospital.


Sebagai veteran perfileman, mendiang Nedumudi merupakan seorang tokoh yang sangat disegani dalam kalangan penggiat industri.


Sebilangan besar pelakon angkatan generasi baharu berterima kasih kepada beliau kerana telah menjadi inspirasi berikutan sumbangan besarnya pada dunia lakonan khususnya karya-karya Malayalam.


Nota-nota terima kasih dan penghargaan selain rakaman rasa duka dengan kehilangan seniman berjiwa besar itu dapat dilihat di laman-laman media sosial.


Pelakon dan pengarah Prithviraj Sukumaran antara karyawan terawal yang berkongsi kesedihan dengan pemergian mendiang Nedumudi itu di akaun Twitter peribadinya.

Kata Prithviraj, karya-karya seni serta kepakaran legenda itu sudah pasti akan menjadikan rujukan dan bahan kajian oleh generasi akan datang.


Bagi bintang filem Malayalam yang sangat masyhur, Nivin Pauly pula, tunjuk ajar mendiang Nedumudi buatnya ketika membintangi filem pertama akan kekal berada di ingatannya.

“Saya akan menghargai pengalaman memulakan kerjaya seni bersama-sama kamu. Kamu akan saya rindui,” tulis Nivin di akaun Twitternya.


Tidak ketinggalan berkongsi kesedihan dengan pemergian Nedumudi ialah sutradara tersohor India, Sangeeth Sivan.


Sangeeth berkata, mendiang Nedumudi telah meninggalkan khazanah yang amat bernilai dan akan kekal abadi dalam ingatan masyarakat.


“Kehilangan yang cukup besar pada industri perfileman Malayalam,” kata Sangeeth.

Turut berduka dengan pemergian Nedumudi ialah Perdana Menteri India, Narendra Modi yang disifatkan beliau sebagai seorang pelakon versatil.


“Pemergiannya merupakan kehilangan pada dunia filem dan budaya,” kata Perdana Menteri kepada hampir 1.4 bilion rakyat India itu dalam ciapan di Twitter.


Mengimbas kembali perjalanan Nedumudi sebagai anak wayang, filem pertama dibintangi mendiang ialah Thampu pada 1978 sementara anugerah pertama diraihnya ialah Pelakon Lelaki Filem Malayalam Terbaik pada 1981 menerusi filem Vida Parayum Munpe.


Selain karya-karya Malayalam, sepanjang hayatnya, Nedumudi atau nama sebenarnya, Kesavan Venugopal yang berasal dari Kerala yang terletak di barat daya India juga pernah membintangi filem Tamil.


Sehingga ke saat-saat akhir usianya, mendiang masih meneruskan kerjayanya sebagai pelakon dan muncul dalam dua buah filem iaitu Yuvam dan Aanum Pennum pada awal tahun ini.


Menyelusuri sejarah panjang serta pengalaman dan kejayaan luar biasa yang dicapai mendiang menyebabkan kita harus memahami kenapa seluruh India berduka.


Negara itu kehilangan seorang lagi seniman hebat.


Selamat jalan Nedumudi Venu...