top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Individu cuba hasut, timbulkan kegentaran awam boleh dikenakan SOSMA

2 September 2021

PUTRAJAYA: Mana-mana individu yang mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan sehingga menimbulkan kegentaran awam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.


Beliau berkata tindakan sedemikian adalah selaras dengan dasar Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai sebuah kementerian yang ingin memastikan keamanan negara dapat dijaga dengan baik.


“Ada macam-macam jenis manusia yang hendak mengeluarkan kenyataan seperti menghasut dan menakut-nakutkan orang awam maka polis akan mengambil tindakan sewajarnya.


“Sebagai contoh jika ada (individu) melanggar undang-undang percetakan juga boleh dikenakan tindakan perundangan,” katanya dalam sidang media khas selepas memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Dalam Negeri di Kompleks KDN, di sini hari ini.


Hamzah berkata sekiranya ada individu yang menghasut sehingga menimbulkan ketidakselesaan atau cuba melarikan diri dengan keluar negara, berkemungkinan tindakan SOSMA boleh diambil.


“Kadang-kadang manusia ini tersilap makan ubat…tersilap makan macam-macam sehinggakan tuduhan sedemikian (menghasut) boleh ikut (orang awam terpengaruh) dengan menghasut orang lain,” katanya.


Hamzah berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan sebuah akhbar tempatan susulan seorang wanita menggunakan gelaran ‘Sittah Annur’ mendakwa kononnya akan berlaku Perang Dunia Ketiga bermula di Sabah serta memimpin pasukannya bagi mencari imam Mahdi untuk melawan musuh.



--PN Online

bottom of page