• newsatmy

'Influencer' dakwa konsep video muzik 'Rampas' diubah kerana Stacy cemburu?

Astro Awani

Februari 5, 2021 17:30 MYT



Akim membalas dakwaan seorang individu yang dipercayai peragawati luar negara, kononnya babak membabitkannya dipotong kerana Stacy cemburu. - Foto/instagram.com/@akimahmad


KUALA LUMPUR: Penyanyi dan vokalis Akim & The Majistret, Akim Ahmad menjelaskan beberapa babak dalam video muzik lagu Rampas terpaksa dipotong kerana tidak bersesuaian dengan lirik.


Ini sekali gus menafikan dakwaan seorang individu di Twitter kononnya isterinya, penyanyi Stacy, cemburu dengan babak-babak terbabit.


Dalam beberapa kemas kini di Twitter, Akim berkata, lagu berkenaan, yang liriknya ditulis oleh Stacy, didedikasikan khas untuk arwah ibunya yang meninggal dunia pada 2018.


Konsep asal dirasakan tidak sesuai dan atas sebab itu, beberapa babak membabitkan individu yang dipercayai influencer dari negara luar itu terpaksa dibuang.


"Dengan MV yang pada aku agak sensitif dan keterlaluan, aku rasa tak sesuai untuk aku keluarkan. Jadi aku ambil keputusan untuk tukar semua konsep MV kepada yang boleh ditonton untuk semua.


"Aku dah kehilangan ibu aku, kalau aku keluarkan MV yang keterlaluan pada pandangan mata orang Asia macam aku ni, apa pula pandangan kekecewaan yang akan aku dapat dari ayah aku? Aku tak nak kecewakan ayah dan keluarga," tulisnya.


Tambah Akim lagi, dia hanya dimaklumkan tentang jalan cerita video muzik itu pada hari penggambaran berlangsung.


"Jalan cerita MV tu yang diberitahu masa hari penggambaran MV tu. Jadi bila dah edit, rasa tak kena jalan cerita dengan maksud lagu.


"Jadi aku mintalah untuk keluarkan scene yang tak kena. Ini bila kita dah bagitahu jalan cerita sesebuah lagu tu dah dibincangkan, tapi tetap nak buat sesuatu atas sebab "art" sebab nak kepuasan nafsu sendiri dalam berkarya, " ujarnya.


Akim sebelum itu membalas ciapan seorang individu di Twitter dengan nama pengguna @jadeyanh, yang mendakwa dia terbang ke Malaysia untuk satu penggambaran video namun babak membabitkan dirinya tidak digunakan.


"Kelakar, saya terbang ke Malaysia untuk penggambaran video muzik namun babak membabitkan saya tidak dimasukkan kerana isteri penyanyinya cemburu," itu yang ditulis individu berkenaan.


Video muzik Rampas setakat ini sudah menerima lebih 12 juta tontonan.

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.