top of page
  • newsatmy

Ini bukan drama cinta Korea! Pelakon Crash Landing On You sah bakal berkahwin

13 Februari 2022

HASRAT peminat drama Crash Landing On You, untuk melihat Hyun Bin dan Son Ye-jin menjadi pasangan kekasih akhirnya menjadi kenyataan.


Lebih menggembirakan, hero dan heroin drama siri popular Korea Selatan itu mengesahkan telah mengikat tali pertunangan, dan bakal melangsungkan perkahwinan pada bulan depan.


Menerusi kemas kini di laman Instagram, Ye-jin, 40, berkata dia telah menemui lelaki untuk hidup bersamanya sepanjang usia.

Jelas pelakon terkenal itu lagi, pertemuan dengan Hyun Bin disifatkan sebagai takdir, selain dia teruja untuk membina masa depan bersama buah hatinya itu.


“Saya menemui seseorang untuk menghabiskan sisa hidup saya. Ya… dia (Hyun Bin) lah orangnya.


"Lelaki bertemu wanita, mengenali satu sama lain di hadapan khalayak ramai, berjanji untuk membina masa depan bersama. Saya tidak dapat bayangkan!


“Ia berlaku secara semula jadi, tetapi bukankah itu takdir? Hanya dengan dia, saya rasa dilindungi," tulisnya dalam entri tersebut pada Khamis.


Pelakon filem romantik Summer Scent itu turut memuat naik gambar gaun mini berona putih.

Sementara itu, agensi Hyun Bin iaitu Vast Entertainment turut mengesahkan percintaan pasangan tersebut.

Menurut kenyataan itu, Hyun Bin dan Ye-jin mula menjalin hubungan cinta pada 1 Januari tahun lalu.


Agensi itu menambah, pasangan sama padan itu dijadualkan mengadakan perkahwinan di sebuah lokasi di Seoul pada Mac depan.

Comments


bottom of page