• Arissa

Internet Satelit MySurFi mula digunakan di Jeli

22 Julai 2021

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan penyambungan capaian Internet melalui teknologi satelit MySurFi, yang pertama seumpamanya di Kelantan mula digunakan di daerah Jeli, semalam.


Bahagian Teknologi Angkasa, Serba Dinamik Group Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan program Khidmat Sosial Masyarakat Internet Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi menggunakan satelit itu dilaksanakan syarikat kejuruteraan Serba Dinamik bersama sebuah syarikat penyedia perkhidmatan berkaitan satelit dan telekomunikasi, Mosyawa Sdn Bhd.


Program itu juga merupakan hasil kerjasama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed yang juga Ahli Parlimen Jeli.


Menurut kenyataan itu, program tersebut akan memberikan capaian Internet percuma selama enam bulan dalam tempoh negara berdepan cabaran pandemik COVID-19.


Sekolah Kebangsaan (SK) Lawang di Jeli merupakan lokasi pertama dipilih bagi pemasangan Internet satelit di Kelantan sebelum fasa komersial dimulakan di serata daerah di negeri itu.


Menurut Mustapa, perkhidmatan MySurFi amat penting kerana terdapat keperluan bagi penyediaan capaian akses Internet di kawasan yang tidak mendapat capaian Internet fiber atau Internet selular di Malaysia seperti SK Lawang.


Sementara itu, Guru Besar SK Lawang Hassan Che Awang berkata Internet bukan lagi suatu pilihan tetapi keperluan yang utama ketika ini terutamanya sepanjang proses Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah berlangsung.


Hassan ketika mengadakan perbualan video menggunakan aplikasi ‘Google Meet’ secara langsung menerusi perkhidmatan MySurFi bersama Mustapa menyatakan kesungguhan beliau untuk membuka kawasan sekolah kepada pelajar yang masih berada di luar kawasan liputan, sementara perkhidmatan MySurFi diperluaskan setelah tamat fasa percubaan dan ujian di kawasan itu.


Seorang tenaga pengajar di SK Lawang Samsiah Zainal Abidin pula menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kerana program tersebut membantunya untuk berhubung menerusi Internet di pagi Aidiladha dengan adik kesayangannya di Kedah yang tidak dapat merentas negeri untuk pulang ke kampung halaman.


Terdahulu menurut kenyataan itu, seminggu sebelum fasa pemasangan MySurFi, Serba Dinamik dan Mosyawa Sdn Bhd turut mengambil peluang menyantuni masyarakat di sekitar Kg Lawang bagi memberi penerangan berhubung perkhidmatan Internet satelit.


Selain itu, wakil Serba Dinamik Care Team turut bersama-sama mengagihkan bantuan tanggungjawab sosial korporatnya kepada keluarga yang memerlukan.




--PN Online