top of page
  • zaman

Ismail Sabri nafi bersara politik, pertahan Ketua UMNO Bahagian Bera

27 Feb

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan beliau akan bersara daripada politik walaupun membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO yang disandangnya sejak 2018.


Ahli Parlimen Bera itu menerusi satu kenyataan menyifatkan laporan media yang menyatakan bahawa beliau akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera adalah spekulasi ‘nakal’ dan tidak betul.


Tegasnya, ini kerana beliau tetap mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

“Berkait dengan laporan sebuah akhbar media arus perdana yang menyatakan bahawa saya akan bersara sebagai Ketua UMNO Bahagian Bera, ia adalah spekulasi ‘nakal’ dan tidak benar sama sekali.

“Malah Setiausaha UMNO Bahagian Bera telah memaklumkan bahawa saya adalah calon tunggal untuk jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

“Tiada pencalonan lain untuk jawatan tersebut diterima sehingga tamat tempoh pencalonan yang ditetapkan pada pukul 5 petang, 26 Februari 2023.

“Bagaimanapun saya menunggu keputusan muktamad daripada Ibu Pejabat UMNO Malaysia mengenai pencalonan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera,” katanya hari ini.


Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, keputusannya tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan kali ini, setelah mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO pada hari ini.


Menurutnya, atas sebab itu juga beliau turut tidak bertanding jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat namun mempertahankan jawatan Ketua UMNO Bahagian Bera.

“Mengambil kira suasana politik semasa khususnya dalaman UMNO pada hari ini, saya mengambil pendirian untuk tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden dan tidak bertanding apa-apa jawatan tertinggi parti di peringkat Pusat,” katanya.


Ahad lalu, Ismail Sabri mengesahkan beliau tidak mempertahankan jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti akan datang tanpa menyatakan sebab berbuat demikian.

bottom of page