• newsatmy

Isu kabotaj, Malaysia tidak hilang pelaburan


Di dalam siaran langsung debat berkenaan isu kabotaj, Menteri Pengangkutan Datuk Wee Ka Siong berkongsi satu berita baik untuk rakyat Malaysia berkenaan sambungan digital. Walaupun diselubungi pelbagai tohmahan mengenai kabotaj, Wee mendedahkan bahawa projek kabel dasar laut Intra-Asia Express, akan menghubungkan Jepun dan Malaysia, serta Singapura.


Wee berkongsi rakaman panggilan video beliau bersama Naib Presiden NTT, Yoshio Sato menyatakan bahawa kabel dasar laut baru ini akan bermula di Jepun, menyambungkan Filipina serta Kuching di Sarawak, sebelum mendarat di Semenanjung Malaysia dan Singapura. Sato juga menjelaskan di dalam panggilan tersebut, dia amat memerlukan bantuan daripada Wee untuk menjayakan projek tersebut.


Projek itu kini di peringkat perancangan dan dijangka akan diuruskan oleh konsortium gabungan 3 atau 4 syarikat telekomunikasi. Penempatan kabel ini akan dilakukan dengan cara mengelakkan daripada memasuki zon perairan yang dipertikaikan sempadannya dan mengandungi sekitar 16 ke 20 FP (Fibre Pair, Pasangan Fiber).


Dalam debat ini juga, Wee merujuk NTT sebagai pemilik kabel Apricot. Wee mengatakan bahawa projek kabel dasar laut yang dirancang melalui Sabah dan Sarawak, akan menguntungkan negara serta agenda MyDigital.


Facebook dan Google mengumumkan projek kabel dasar laut Apricot pada Ogos 2021, sepanjang 12,000km dan dijangka akan beroperasi pada tahun 2024. Ia menghubungkan Jepun, taiwan, Guam, Filipina, Indonesia dan Singapura, tetapi tidak Malaysia.


Semasa diumumkan, NTT disebut sebagai salah satu daripada 5 ahli konsortium dan menerajui pembinaan dan penyelenggaraan kabel dasar laut ini. Selain itu, NTT juga bertanggungjawab menjaga dan menguruskan berapa kawasan kabel ini mendarat.


Untuk menjawab tohmahan yang dilemparkan berkenaan polisi kabotaj mengakibatkan Malaysia terkeluar daripada projek Apricot, Wee berkongsi video Sato menerangkan tentang projek Apricot dirancang pada tahun 2017 dan Malaysia memang tidak termasuk dalam perancangan. Bagaimanapun, kabel dasar laut lain yang dinamakan MIST yang menghubungkan Myanmar, India, Singapura dan Thailand, akan turut mendarat di Malaysia.


Selain MIST, kabel Asia Submarine-cable Express (ASE), Asia Pacific Gateway (APG), Pacific Crossing-1 (PC-1) dan Jupiter akan bersambung ke kabel Apricot dan menyediakan berbilang laluan ke bandar-bandar utama Asia serta ke Amerika Syarikat.