top of page
Writer's pictureNihaba

Isu kapal LCS: Pesara TLDM 78 tahun akan didakwa pagi ini


KUALA LUMPUR,16 OgosBekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Tan Sri Ahmad Ramli Mohd Nor dijangka didakwa atas tuduhan pecah amanah jenayah (CBT) berjumlah lebih RM20 juta berhubung skandal kapal tempur pesisir pantai (LCS).


Ahmad Ramli, 78 tahun, tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta kira-kira jam 7.50 pagi tadi.


Bekas tentera itu berkemungkinan akan menghadapi tiga pertuduhan di Mahkamah Seskyen Kuala Lumpur, menurut sumber yang mengetahui siasatan kes berkenaan.


Antara pertuduhan itu melibatkan pembayaran kira-kira RM13 juta kepada Setaria Holdings Limited, yang dilakukan tanpa kelulusan lembaga Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).


Ahmad Ramli dilantik sebagai panglima Tentera Laut pada Oktober 1996. Dia bersara pada 1998 selepas berkhidmat dalam TLDM selama 35 tahun.


Pada Julai, penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mempunyai bukti yang mencukupi untuk mendakwa beberapa orang yang terlibat dalam projek berbilion ringgit LCS itu.


Untuk rekod,Pada 4 Ogos, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen mendedahkan bahawa sejumlah RM1.4 bilion peruntukan kerajaan untuk projek LCS telah digunakan untuk tujuan lain, termasuk lebihan kos.


Siasatan dua tahun oleh PAC juga mendedahkan bahawa projek bernilai RM9 bilion itu dilakukan melalui rundingan terus dengan BNS dan telah ditandatangani pada 2014.


Ahmad Ramli adalah salah satu daripada dua nama yang terlibat dan disebut berulang kali dalam laporan PAC.


Susulan laporan itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan SPRM menyegerakan siasatan terhadap kes LCS dan memberitahu Peguam Negara untuk mendakwa pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat cukup bukti.

Comentários


bottom of page