• Arissa Azman

Isu pemecatan: Papagomo sifatkan Asyraf Wajdi tidak jujur, putar belit fakta

5 September 2021

KUALA LUMPUR: Bekas Exco Pemuda UMNO, Wan Muhammad Azri Wan Deris hari ini menempelak ketua pergerakan itu, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki.


Wan Muhammad Azri yang dikenali sebagai Papagomo menegaskan, Asyraf sepatutnya jujur dan tidak memutar belit fakta berkenaan punca dia digantung keahlian selama enam tahun.


"Sampai hari ini Lembaga Disiplin UMNO tidak memanggil saya. Saya nak merayu apa, sedangkan keputusan telah dibuat, saya digantung.


"Bagi saya, kenyataan yang dibuat Asyraf merupakan satu penafian yang mana dia cuba menutup isu sebenar.


"Isu sebenar ialah kelantangan saya mengkritik Presiden (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi). Dia (Asyraf) sendiri hubungi saya untuk saya berhenti daripada kritik Presiden sebaliknya menyokong Presiden.


"Bagi saya, yang salah tetap salah, betul tetap betul," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan yang dibuat Asyraf Wajdi yang memaklumkan tindakan menggantung keahlian individu tertentu dalam UMNO bukan disebabkan kelantangan mengkritik mana-mana pemimpin, sebaliknya kerana melanggar tatasusila dan disiplin parti.


Mengulas lanjut Wan Muhammad Azri berkata, kenyataan Asyraf Wajdi kononnya laporan terhadapnya dibuat oleh akar umbi juga merupakan satu kekeliruan.


Berdasarkan maklumat yang diterimanya, salah satu laporan yang dibuat terhadapnya dilakukan oleh Pemuda UMNO Malaysia sendiri.


"Saya tak dipanggil bela diri langsung sehingga hari ini. Tiba-tiba saya telah dikeluarkan oleh Asyraf Wajdi dari 'group WhatsApp' Exco Pemuda UMNO Malaysia yang mana Asyraf sendiri pun tak maklum kepada saya atas alasan apa saya dikeluarkan.


"Kemudian baru tersebar cerita saya digantung dan saya dapat surat penggantungan.

"Malah sampai hari ini pun Asyraf Wajdi sebagai Ketua Pemuda UMNO tak menghubungi atau mesej saya," katanya.