• newsatmy

Isu rakyat tidak dapat dibincangkan bila Parlimen ditutup - Wan Azizah

5 Jun 2021

KUALA LUMPUR: Penutupan Parlimen sejak sesi berakhir 15 Disember tahun lepas mengakibatkan isu rakyat tidak dapat dibahaskan dengan tuntas.


Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata ia termasuk isu kesenjangan ekonomi, kesihatan mental rakyat, keganasan rumahtangga dan pendidikan.


"Ekonomi rakyat semakin terjejas. Harga barangan semakin meningkat. Pendapatan semakin meruncing. Simpanan semakin mengering. Kehidupan rakyat semakin menghimpit dan keluarga hidup sengsara.


"Warga muda bergelut hidup, tanpa pekerjaan. Isu dibawa Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memang prihatin tentang pengangguran di kalangan belia kini mencapai setinggi 13.4 peratus setakat Mac 2021.


"Secara keseluruhan pula mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia bilangan penganggur mencecah 753,200 dengan kadar pengangguran 4.7 peratus pada Mac 2021," katanya semasa merasmikan Kongres Wanita Nasional yang ke-15 secara maya pada Jumaat.


Kata Dr Wan Azizah lagi, penutupan Parlimen juga telah tidak membolehkan negara menyatakan pendirian secara tegas terhadap isu-isu kemanusiaan sejagat seperti isu pemusnahan etnik dan dasar apartheid yang sedang dilakukan secara kejam oleh rejim zionis Israel terhadap rakyat Palestin.


Dalam pada itu, jelasnya, pertambahan keahlian parti itu satu perkembangan memberangsangkan walaupun dalam kemelut politik dan krisis kepimpinan negara hari ini.


Ujarnya, PKR kini mempunyai sejumlah 2,028 ranting di seluruh negara dan melihat lebih ramai lagi calon wanita yang akan diketengahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.


-Astro Awani