• newsatmy

Isu royalti filem dalam tindakan KKMM - Annuar

2 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mengambil tindakan bagi menyelesaikan pelbagai isu berkaitan royalti filem, termasuk mengadakan perbincangan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) berhubung karya-karya tersimpan, yang tidak menghasilkan apa-apa keuntungan kepada sesiapa.


Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata beliau mendapati ada kalangan pencipta karya itu tidak memperoleh royalti daripada hasil kerja mereka kerana sebahagian daripada hak (rights) telah dijual, dan sebagainya.


"Sekarang saya (sedang) buat engagement (libat urus) dengan banyak pihak terlibat seperti artis dan pelakon, yang menulis skrip, penerbit dan lain-lain, mereka ada banyak perkara yang nak disampaikan," katanya pada sidang media Festival Filem Malaysia ke-31 (FFM 31) di sini, semalam.


Katanya beliau akan terus berbincang dengan pihak terbabit supaya dapat memahami kehendak serta keperluan mereka termasuk pembaharuan Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta FINAS) (Akta 244) yang sudah lapuk.


Annuar berkata sebagai individu yang mendengar pandangan kesemua pihak, beliau mendapati ada banyak perbezaan antara kalangan penggiat seni tanah air.


"Misalnya pihak industri muzik, dia nak berasingan (daripada filem), ada pula pendapat kata nak cepat, kenapa tidak muzik dan filem yang amat saling berkaitan - digabungkan. Tapi tak mengapa, yang penting saya dengar dahulu dan kita buat engagement, kemudian kita buat keputusan untuk harmonikan keadaan kerana yang penting industri itu kena berkembang," katanya.


Sementara itu Annuar berkata beliau sedia mendengar cadangan bagi menubuhkan studio dilengkapi peralatan selain perkampungan perfileman untuk membolehkan pihak produksi membuat pengambaran.


"Saya terbuka, yang penting kalau kita katakan yang kerajaan menganggap ini sebagai satu industri, ertinya kita kena sediakan kemudahan," katanya.


Turut hadir pada sidang media itu, Pengerusi Finas Zakaria Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif Finas Prof Dr Md Nasir Ibrahim serta Presiden Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM) Datuk Tengku Khalidah Tengku Bidin.



-- BERNAMA