top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

JAKOA majoriti harus diurus oleh kakitangan Kaum Orang Asli - Isa Hamid

13 Oktober 2021

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12, terdapat beberapa matlamat untuk mengembalikan momentum pertumbuhan ekonomi dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang selepas pasca COVID-19.

Menurut Ahli Dewan Negara, YB Senator Dato' Isa bin Ab. Hamid, masyarakat orang asli kini berjumlah 213 ribu orang, berbanding sebelum ini pada tahun 2010 yang hanya berjumlah 178 ribu orang.

Dengan 854 kampung orang asli, kini sebahagian besar masyarakat orang asli terus diarus perdanakan oleh Kerajaan.


Pencapaian bagi pembangunan jalan, elektrik, air dan juga rumah dilihat telah melepasi 80%, namun dalam jajaran yang sebenarnya, hakikat di bawah masih perlu dan banyak diperbaiki.


Jika kita lihat pada lokaliti keadaan orang asli, 63% masih lagi di pinggir bandar, namun masih ada lagi 31% lokaliti pedalaman iaitu sebanyak 308 kampung.

Sebanyak 41.4% status kampung orang asli yang masih lagi mundur, 52.6% kampung bertaraf sederhana dan hanya 6% kampung dikategorikan maju.


Di Pahang sebanyak 35%, Perak 31% dan Kelantan 21%, 3 negeri ini menyumbang 35% daripada kampung masing-masing yang dianggap mundur dan masih lagi perlu diperkasakan dengan pembangunan luar bandar terutamanya jalan dan sosioekonomi.

"Sekiranya kita melihat dalam rangka tema RMK-12 berobjektifkan Keluarga Malaysia, iaitu yang makmur, eksklusif dan mampan,

"Kita cuba menghuraikan apa itu keluarga Malaysia dalam pelbagai bentuk dan dimensi,


"Dalam konteks keluarga besar ini, tentulah kita makan sedulang, tentulah ada sup tulang, kita tidak mahulah kelompok minoriti orang Asli, orang Siam dan OKU, tentulah betul betul makan sup tulang, bukanlah sup yang ditulangkan" kias beliau memaksudkan bahawa orang asli juga tergolong di dalam keluarga besar Malaysia.

Beliau turut menyatakan bahawa beliau telah menyentuh tentang isu JAKOA kepada YAB Perdana Menteri yang perlu diperkasakan dari segi infrastruktur yang masih lemah dan kurang, kadar keciciran yang masih tinggi, bantuan pendidikan yang masih rendah, program ekonomi yang belum mencecah 4 angka.

"Kemiskinan orang asli masih lagi diparas yang sangat serius dan pada 2019, kadar kemiskinan orang Asli adalah sebanya 33.6%,


"Saya memohon supaya dapat melihat plan strategik JAKOA untuk membangunkan orang Asli perlulah selaras dan dinamik dengan perubahan orang Asli,


"Saya melihat juga Pelan Pembangunan Orang Asli 2019 di Putrajaya, namun apabila bertukar Kerajaan, dia tenggelam mengikut pelan,


"Apa yang kita lihat, pelan ini menjadi mangsa politik,


"Tak kisahlah dijenamakan dengan apa-apa Kerajaan hari ini, tetapi biarlah pelan itu memberi makna kepada kelangsungan masyarakat orang Asli," tambah beliau.


Beliau turut memohon SPA dan juga JPA bantu untuk menaik taraf Jabatan Orang Asli dengan mengadakan satu program pengambilan khas untuk diletakkan di Jabatan Orang Asli atau mana-mana jabatan yang berkepentingan dengan Orang Asli.

bottom of page