• Arissa Azman

Jamal Abdillah bakal timang anak kelima

18 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Penghibur legenda tanah air, Datuk Jamal Abdillah sedang menghitung hari untuk menimang cahaya mata kelima.


Menurut penyanyi kesayangan ramai itu, kandungan isterinya, Datin Zai Izzati kini sudah berusia 12 minggu.


Berkongsi berita gembira itu, Jamal, berkata, sekiranya diizinkan oleh Allah, beliau dan isteri berharap agar dikurniakan seorang lagi anak perempuan.


“Kalau Allah beri rezeki anak perempuan tentu sekali kami sangat gembira. Saya juga merancang anak kelima lahir pada 12 Disember 2021,” kata penyanyi lagu Kau Kekasih Awal dan Akhir itu kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.


Menerusi pernikahan dengan Zai Izzati, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Azura Yamani, 2, dan El Issac Yamani yang berusia sembilan bulan.


Nur Azura Yamani lahir pada 10.10.2019 sementara El Issac Yamani juga diputerakan pada tarikh yang mudah diingati iaitu pada 11.11.2020.


Jamal juga mempunyai dua cahaya mata lelaki iaitu Osama Yamani, 19, dan Ahmad Zaki Yamani,14, menerusi perkahwinan terdahulu.


Nur Azura merupakan anak perempuan tunggal Jamal.


Menurut Jamal, kehadiran seorang lagi ahli keluarga amat-amat membahagiakannya sekalipun pada usianya sudah mencecah 62 tahun.


“Kehadiran anak adalah rezeki. Saya sangat bersyukur kerana Allah terus mengurniakan rezeki anak buat saya dan isteri,” ujar Jamal lagi.