top of page
admin

Jana Wibawa: Pertuduhan rasuah tidak ganggu tumpuan PN pada PRN - Azmin


KUALA LUMPUR 21 Feb: Pertuduhan rasuah terhadap anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melibatkan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) tidak akan mengganggu tumpuan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.


Bagaimanapun, Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan, tindakan mahkamah itu menunjukkan ada perancangan untuk melumpuhkan parti itu.

“Tidak (mengganggu) kerana kita yakin ini merupakan satu pertuduhan yang terpilih, Presiden parti dengan jelas menyatakan bahawa kenyataan Presiden UMNO yang dibuat sebelum ini, membuktikan sudah ada perancangan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.

“Ini membuktikan satu ketakutan PH dengan rakan baharu mereka, UMNO, yang dilihat terhadap dukungan begitu kuat rakyat terhadap PN," katanya kepada media di perkarangan Mahkamah Kuala Lumpur pada Selasa.


PN bagaimanapun tambah Azmin, yakin rakyat akan memberi satu lagi isyarat kepada PH dan UMNO kerana tidak menunaikan janji dalam pilihan raya yang lalu.

“Sudah hampir tiga bulan, tetapi tidak ada satu langkah dan tindakan Kerajaan untuk membantu rakyat.

“Hari ini, yang kita lihat dilakukan musuh kita ialah untuk menutup kelemahan mereka. Untuk menutup kelemahan ini, maka mereka menyerang PN. Saya yakin rakyat hari ini cukup matang melihat gelagat PH dan UMNO untuk mentadbir Kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Azmin mahu semua pihak tidak menyalahtafsir pendiriannya yang mahu berehat ‘seketika’ daripada arena politik.

“Jangan andaikan (rehat) seketika itu sehari ke, seminggu ke, sebulan ke,” jelasnya.

Bagaimanapun apabila ditanya sama ada beliau akan turut bertanding pada PRN nanti, jelasnya, soal calon pilihan raya hanya akan dibincangkan bersama parti-parti di bawah naungan PN.

“Apabila DUN dibubarkan, parti-parti akan meneliti calon-calon yang akan dikemukakan. Belum bubar, jadi belum (ada apa-apa) lagi,” ujarnya.

Comments


bottom of page