• newsatmy

Jangan bantutkan usaha Malaysia jadi hab pendidikan tinggi - MQA

14 April 2021

KUALA LUMPUR: Hasrat negara untuk menjadi hab pendidikan tinggi di rantau ini akan terbantut sekiranya kerajaan hanya mengehadkan 15 hingga 20 universiti sahaja yang beroperasi.


Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran berkata, agenda itu kini berada pada landasan yang betul dan Malaysia mampu menjayakannya.


"Pandangan seperti yang disuarakan segelintir pihak sebelum ini bercanggah dengan hasrat kerajaan yang mahukan Malaysia dikenali di arena pendidikan tinggi global.


"Penubuhan Hab Pendidikan Tinggi Pagoh misalnya, mampu memberi lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan dan antarabangsa untuk melanjutkan pengajian yang mereka minati di situ," katanya.


Beliau mengulas pandangan yang mengatakan, Malaysia yang mempunyai penduduk sekitar 32 juta orang hanya memerlukan 15 hingga 20 universiti, baik awam mahupun swasta.


Ahli Majlis Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof Datuk Dr Ibrahim Komoo dipetik Mingguan Malaysia berkata, lambakan universiti hanya menjejaskan kualiti graduan setelah tamat pengajian.


Malah, beliau mendakwa institusi pengajian tinggi (IPT) hanya mengaut keuntungan selain menyumbang kepada kadar pengangguran.


Mengulas lanjut, Mohammad Shatar berkata, pihaknya sentiasa mengadakan perbincangan dan kerjasama dengan agensi akreditasi antarabangsa, justeru aspek kualiti tidak wajar dipertikaikan.


Katanya, pihaknya sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan agensi akreditasi antarabangsa supaya tahap jaminan kualiti pendidikan MQA berada pada tahap yang sama.


"Kita sudah ada jalinan kerjasama dengan banyak agensi akreditasi dari luar negara termasuk dari Australia, New Zealand, Eropah, Amerika Syarikat, Jepun dan negara ASEAN.


"Semua inisiatif ini dijalankan supaya pelajar tempatan mudah menyambung pengajian atau mendapat pekerjaan di luar negara kerana program yang diikutinya diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.


- Astro AWANI