• newsatmy

"Jangan buat main kesusahan orang lain" - Naim Daniel

13 Julai 2021

Di saat alam semesta ditimpa sakit akibat pandemik durjana COVID-19, rakyat berperang dengan emosi dan mencatu makan minum demi kelangsungan hidup, namun ada segelintir golongan bertindak jelek sekali gus menunjukkan tahap kecerdasan minda mereka sebenarnya sifar!


Platform kitajaga.co yang dibangunkan untuk memberi laluan kepada mereka yang betul-betul memerlukan bantuan bertukar menjadi medan gurauan pihak tidak bertanggungjawab dengan memuat naik mesej atau pesanan yang jijik dan jelek.


Tindakan itu mengundang kemarahan ramai yang mempertikaikan kesanggupan pihak terbabit mempermainkan kesempatan hidup orang lain.


"Mana pergi keprihatinan? Kalau anda turut diuji dengan kesukaran, jangan sampai miskin adab!", antara kata ramai insan yang masih mempunyai hati nurani murni.


Perkongsian selebriti Naim Daniel menerusi Instagram miliknya menerima banyak komen selepas beliau memuat naik imej beberapa individu yang 'merosakkan' platform berkenaan dengan mesej yang langsung tidak boleh diterima akal.


Ramai yang marah dan kecewa apabila mesej sebegitu 'mencuri' kesempatan rakyat yang terdesak dan memerlukan bantuan bekalan makanan untuk suami, isteri, anak, ibu atau bapa mereka.


Benar... di saat begini, ada yang hilang pertimbangan diri, namun jangan sampai hilang harga dan maruah diri biarpun setinggi mana tekanan yang dihadapi.


Jangan menutup laluan rezeki orang lain yang kita tidak tahu mungkin sudah seminggu tidak menjamah makanan atau mungkin bayi di rumah disuakan air kosong sebagai penghilang lapar dan dahaga.


Bukan semua perkara boleh kita jadikan lawak jenaka, berfikir secara terbuka, bukan ikut nafsu semata.


Dalam pada itu, menerusi PEMULIH yang diumumkan baru-baru ini, kerajaan turut memperuntukkan RM300,000 bagi setiap Ahli Parlimen untuk membantu mereka yang memerlukan melalui program Bantuan Bakul Makanan di kawasan mereka.


Ketika ini, kita dapat lihat hampir semua Ahli Parlimen turut berusaha membantu di samping bantuan orang perseorangan melalui platform kitajaga.co yang semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia yang prihatin.