top of page
  • zaman

Jangan cuba heret BERSATU masuk politik sempit, Fayhsal tegur Asyraf


KUALA LUMPUR,01 Okt – Adalah melucukan apabila Ketua Pemuda UMNO Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memetik kata-kata seorang mantan menteri untuk menggambarkan BERSATU ingin sabotaj kerajaan hari ini dengan menolak Belanjawan 2023.


Ketua Armada BERSATU Malaysia, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata hakikatnya, P. Waytha Moorthy tidak pernah menjadi anggota BERSATU, maka tidak seharusnya diambil sebagai pusat rujukan untuk sebarang pendirian oleh parti BERSATU.

“BERSATU dan Perikatan Nasional (PN) secara tegas menolak sebarang pilihan raya ketika negara sedang bergelut dengan risiko banjir dan kemelesetan ekonomi global seperti yang diberi amaran oleh Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).


“Beberapa Dewan Undangan Negeri di bawah PN juga tidak akan dibubarkan.

“Ini bagi membolehkan persiapan dibuat bagi menghadapi bencana, memastikan ekonomi negara terus berkembang agar rakyat tidak kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Bagi BERSATU, kepentingan rakyat sentiasa keutamaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Terdahulu, Asyraf menyifatkan pihak yang menolak Bajet 2023 seperti menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Asyraf berkata, tindakan ugut-mengugut seperti itu juga mampu memberi persepsi negatif kepada pemain industri serta pelabur dari dalam dan luar negara.


Sebelum ini media melaporkan, bekas Menteri Perpaduan dan Kesejahteraan Sosial, P Waytha Moorthy mendakwa parti teras PN iaitu BERSATU mungkin tidak menyokong Bajet 2023 ekoran pertembungan Ismail Sabri dengan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang kemudiannya kenyataan itu dipetik Asyraf.


Namun, Wan Ahmad Fayhsal berkata sebenarnya, pihak yang bersungguh-sungguh mahu pilihan raya diadakan awal ialah Asyraf dan bos-bosnya sendiri, bukanlah parti BERSATU atau PN.

“Hanya mereka yang saban hari bercakap soal pilihan raya.

“Kebajikan dan nyawa rakyat ditolak ketepi, nafsu pemimpin parti diangkat tinggi.

“Jangan cuba heret BERSATU masuk ke dalam politik sempit seperti ini,” katanya.

bottom of page