top of page
newsatmy

'Jangan hanya serah pada PAS usahakan penyatuan ummah'


KUALA LUMPUR 2 Ogos: PAS tetap berpegang teguh kepada usaha menjayakan penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN).


Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh, berkata pemerintahan 22 bulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sepatutnya menyedarkan orang Islam mengenai kepentingan penyatuan ummah dan parahnya perpecahan.

"Penyatuan ummah khususnya bagi umat Islam adalah tuntutan agama. Setiap jiwa yang beragama Islam perlu berusaha ke arah itu.

"Oleh kerana ia tuntutan kepada umat Islam, semua pihak perlu berusaha bersatu dengan agama Allah.

"Jangan serah pada PAS sahaja berusaha, yang lain tidak kisah atau tidak ambil berat dan tidak merasakan keperluan itu," katanya kepada BH hari ini.


Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam yang memaklumkan parti itu masih menunggu jika mempunyai peluang untuk bersama UMNO menerusi MN bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Tuan Ibrahim berkata, bagaimanapun, jika UMNO memutuskan mahu bergerak sendirian menerusi Barisan Nasional (BN), PAS sedia bertanding melalui gabungan Perikatan Nasional (PN).


Katanya, PAS adalah komponen dalam PN namun pihaknya tidak menutup pintu kepada penyatuan ummah menerusi MN.


Selain itu Nuridah berkata, PAS bersama akar umbinya akan tetap berusaha ke arah penyatuan berkenaan.


Sementara itu Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dalam jawapan ringkasnya tidak menganggap kenyataan Timbalan Presiden partinya itu sebagai kenyataan peribadi.

Sebaliknya, beliau menegaskan perkara yang disebutkan itu mencerminkan pandangan parti.

"Mana ada pandangan peribadi. Apa yang disebut itu tentulah pandangan parti," katanya.


BH

Comments


bottom of page