top of page
  • newsatmy

Jangan Mudah Terpedaya Dengan Golongan Anti-Vaksin - Sultan Johor

9 Jun 2021

JOHOR: DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar bertitah, mengingatkan rakyat jangan mudah terpengaruh dengan golongan anti-vaksin yang dipelopori pihak tertentu.


Baginda Tuanku Sultan bertitah, rakyat perlu memahami bahawa tujuan pengambilan vaksin adalah untuk mencegah jangkitan COVID-19 daripada terus mengancam kesihatan orang ramai.


“Islam mengajar kita agar sentiasa memelihara keselamatan diri menerusi segala langkah pencegahan dari apa jua kemudaratan khususnya wabak penyakit. Kaedah dalam menentukan hukum hakam ada menegaskan bahawa membenteras keburukan adalah lebih utama dari membawa sesuatu kebaikan.


“Mencegah penyakit lebih baik daripada mengubatinya. Janganlah kita mendengar cerita karut yang disebarkan puak anti-vaksin ini. Dapatkan vaksin demi keselamatan diri dan untuk imuniti kelompok agar penularan COVID-19 dapat dicegah,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).


Baginda Tuanku Sultan memetik Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 195 yang bermaksud : “Jangan kamu campakkan diri kamu ke lembah kebinasaan”.


“Ini yang diajar oleh agama kita. Mereka yang menolak tanpa sebab munasabah vaksin COVID-19 ini, yang telah disediakan oleh kerajaan dan sudah difatwakan halal oleh Jawatankuasa Fatwa, seolah-olah merelakan diri dijangkiti wabak yang amat berbahaya ini.


“Islam tidak membenarkan umatnya berserah bulat-bulat kepada takdir yang akan menimpa tanpa sebarang usaha dan ikhtiar untuk mengelakkannya. Bagi mereka yang sudah menerima suntikan vaksin, janganlah leka akan pematuhan SOP pula,” titah Baginda.


Menurut laporan media, dianggarkan seramai 133,000 penerima yang terdiri daripada warga emas akan menerima dos suntikan vaksin AstraZeneca dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di seluruh negeri Johor bermula minggu ini.


Dalam pada itu, DYMM Sultan Johor turut bertitah mengingatkan segelintir pihak supaya tidak mempolitikkan isu vaksin.


“Isu vaksin ini tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya kerajaan sedang dan terus berusaha serta mengambil pelbagai pendekatan berkesan bagi meningkatkan pendaftaran rakyat untuk mendapatkan vaksin,” titah Baginda Tuanku Sultan.



--PN Online

bottom of page