• Arissa

Jangan pertaruhkan masa depan negara, rakyat - pesan Agong kepada ahli politik

13 September 2021

KUALA LUMPUR: Jangan sama sekali meletakkan masa depan negara dan rakyat sebagai taruhan dalam percaturan untuk mencapai agenda tertentu.


Demikian titah nasihat Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah kepada semua Ahli Parlimen ketika bertitah pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 hari ini.


Titah Seri Paduka Baginda, lebih setahun berlalu, negara masih belum bebas sepenuhnya daripada pandemik dan menyebabkan rakyat dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam.


“Beta menyeru kepada ahli-ahli Yang Berhormat sekalian untuk mengembalikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat beta dan negara tanah tumpahnya darah kita,” titah Baginda.


Titah Al-Sultan Abdullah lagi, terlalu ramai rakyat Malaysia yang terkesan dengan penularan pandemik dan ramai juga yang kehilangan sumber rezeki.


“Ratusan pucuk surat telah beta terima dari rakyat beta yang merintih penuh duka dengan seribu harapan agar sinar perubahan dapat mereka kecapi dengan segera bagi meneruskan kehidupan seharian seperti biasa,” titah Baginda.


Sebelum mengakhiri titah, Seri Paduka Baginda mendoakan agar Malaysia dan rakyat terus diberkati.


“Semoga Malaysia serta rakyat yang beta kasihi akan terus diberkati dan dianugerahkan oleh Allah dengan taufik dan hidayah, aman sentosa serta hidup bersatu padu di bawah lindunganNya,” titah Baginda.


Baginda turut berkenan menutup titah dengan tiga rangkap pantun:


Dari segamat ke Kota Tinggi,


Hajat mulanya ke Kuala Pahang,


Kepada Yang Berhormat ikhlaslah berbakti,


Tidak lah rakyat gusar dan bimbang.


Kalau memandang langit yang tinggi,


Jangan lupa rumput di bawah,


Bekerjalah Yang Berhormat sepenuh hati,


Martabatkan negara kembali bermaruah.


Rempah halia di gaul diuli,


Buat ramuan nasi kebuli,


Sumpah setia ketaatan diberi,


Pertahankan negara dan ibu pertiwi.”


Sebaik selesai bertitah, Seri Paduka Baginda sempat berseloroh:


“Kalau siapa nak jawab, tunggu tahun depan,” seraya disambut ketawa daripada Ahli Parlimen yang berada di Dewan Rakyat.