top of page
Writer's pictureArissa Azman

Jangan politikkan kempen #benderaputih

30 Jun 2021

Rakyat Malaysia telah membanjiri laman media sosial dengan gerakan #benderaputih, memanggil mereka yang memerlukan makanan atau barang keperluan untuk menaikkan bendera putih di luar kediaman mereka.


Akibat kehabisan wang dan bekalan makanan, seorang bapa kepada dua anak menaikkan bendera putih di hadapan rumahnya di Pulai, Johor setelah melihat kempen menaikkan bendera putih tular di media sosial untuk meminta bantuan daripada orang ramai.


Menurut Harian Metro, jurukimpal berusia 39 tahun, Zulkiflie Samsudin, kehilangan hampir separuh punca pendapatan bulanan sepanjang pandemik Covid-19 untuk menyara isteri, Nur Aqeela Atika Mohd Dali, 29 serta anak perempuannya yang berstatus orang kurang upaya (OKU), Putri Nur Zahirah, 9 dan anak lelakinya, Muhammad Putra Riqzi Zilhelmi berusia setahun.


Menurutnya, dia bukan sahaja tidak mampu lagi membayar sewa rumah dan ansuran kereta, malah turut tidak mampu membeli susu dan lampin pakai buang anak lelakinya itu.


"Saya sedih kerana tidak mampu menunaikan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan sebaik mungkin kerana masalah kewangan dan keadaan saya bertambah buruk sejak awal tahun ini. Apatah lagi isteri sedang hamil enam bulan.


"Saya kibarkan bendera petang semalam selepas melihat ada kempen di media sosial dan Alhamdulillah bantuan diterima mencurah-curah hingga mampu menampung keperluan keluarga selama beberapa bulan.


"Malah ada juga warganet yang sanggup melangsaikan sewa rumah yang tertunggak selama sebulan berjumlah RM800 selain bayaran ansuran kereta selama tiga bulan bernilai keseluruhan RM1,200," katanya.


Pengguna media sosial melancarkan kempen "#BenderaPutih" semalam bagi meminta mereka yang menghadapi masalah kewangan menaikkan bendera putih di hadapan rumah sebagai tanda memerlukan bantuan.


Pengguna media sosial menggambarkan gerakan #benderaputih 'inisiatif diri rakyat' sebagai inisiatif cemerlang untuk membantu mereka yang memerlukan, tanpa meminta-minta daripada orang ramai dan tidak merasa malu untuk meminta pertolongan.


Dan kepada jiran-jiran yang mampu, mereka boleh la datang ke rumah mereka yang memerlukan, sebagai contoh bahan asas makanan, ataupun dari segi bantuan emosi.


Kempen itu menarik perhatian banyak pihak termasuk menteri dan ahli politik pembangkang.


Namun, ini tidak bermaksud menggambarkan bahawa kerajaan gagal.


Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat serta memahami kehendak rakyat dengan mengadakan pengisian dalam Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Kerajaan juga dilihat tidak mengetepikan kesan psikologi, tekanan mental dan emosi yang melanda rakyat.


PEMULIH dilihat sebagai penyelesaian kepada segala permasalahan rakyat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.


Keprihatinan Perdana Menteri dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) itu dibuktikan dengan pakej PEMULIH agar rakyat dan negara ini dapat terus bangkit.


Timbalan Ketua BERSATU Pontian, Encik Matharuzaman berkata, beliau menyokong sepenuhnya kempen #benderaputih ini tanpa melibatkan sebarang isu politik yang digempar-gempurkan oleh pengguna media sosial.


"Parti kerajaan dan juga pembangkang boleh sahaja menyokong kempen ini dengan menyalurkan bantuan dan sumbangan kepada rakyat yang memerlukan tanpa melibatkan isu politik untuk menaikkan parti mereka,


"kita buatlah dengan seikhlas hati, niat kerana Allah untuk membantu rakyat kita yang berada di dalam kesusahan ketika pandemik Covid-19 ini,


"Berpandukan pada Islam, bendera putih ini bukanlah bermakna kekalahan. Bendera Putih ketika zaman Rasullulah disebut sebagai Bendera Al-Liwa, iaitu bendera rasmi Daulah Islamiyah yang berwarna putih dengan kalimat syahadah (berwarna hitam) tertera di atasnya,


"Semasa perang (jihad), bendera ini akan dipegang oleh amir (panglima atau ketua) perang. Ia akan dibawa dan menjadi tanda serta diletakkan di lokasi amir berkenaan. Dalil yang menunjukkan perkara ini adalah perbuatan Nabi saw adalah dimana baginda sebagai amir semasa pembukaan Makkah membawa dan mengibarkan bendera putih bersamanya,"


"ini adalah untuk mewujudkan sifat saling bantu-membantu di dalam kalangan masyarakat, di mana itulah sifat yang dah dipraktikkan sejak dahulu lagi," ujar beliau.


Beliau menyifatkan kenyataan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang menyatakan rakyat tidak wajar diajar mengangkat kekalahan menghadapi ujian dengan mengangkat bendera putih, sebaliknya mereka perlu mengangkat tangan untuk berdoa kepada tuhan adalah tidak berasas kerana dalam Islam, bendera putih bermaksud kemenangan.




--PN Online


Comments


bottom of page