top of page
  • newsatmy

Jasper berpuasa sejak sekolah

4 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Kisah artis bukan Melayu yang berpuasa bukanlah perkara luar biasa, malah semakin ramai mengamalkan puasa demi menghormati bulan Ramadan.

Pelakon dan penyanyi, Jasper Supayah juga tidak ketinggalan berpuasa sejak zaman persekolahan lagi.

"Saya mempunyai ramai kawan di kalangan orang Melayu. Apabila berpuasa, saya ikut serta.


Ia satu nikmat yang tidak terucap. Apabila bergelar anak seni, rutin berpuasa diteruskan.

"Malah, ada pihak produksi yang terlupa yang saya bukan Islam. Jadi, mereka tidak sediakan makanan. Saya okay sahaja. Ikutkan, mereka menawarkan diri untuk membeli makanan, tetapi saya menolak.

"Saya selesa menghormati mereka yang berpuasa ketika menjalani penggambaran. Saya anggap berpuasa sebagai satu cara menjaga kesihatan. Benda baik, tidak salah ikut. Paling seronok momen ketika berbuka puasa di lokasi penggambaran dapat merasai pelbagai menu berbuka puasa," katanya kepada BH Online.

Pelakon drama Aku Yang Kau Gelar Isteri itu berkata, dia masih boleh menahan diri tidak mengambil makanan, tetapi kalah pada minuman.

"Saya boleh tahan menahan lapar, tetapi dengan air, saya lemah. Saya cepat haus. Saya respek pada rakan-rakan yang boleh menahan lapar dahaga.

"Saya selalunya cuba bertahan ketika berpuasa. Kalau tidak larat, saya memang berbuka puasa sahaja. Pengurus pun selalu berpesan tidak perlu berpuasa kalau tak larat. Lagipun, saya mempunyai penyakit gastrik, kalau diserang memang kesan berhari-hari," katanya. Gadis berdarah kacukan Cina-India itu berkata dia teruja berkongsi saat menanti kehadiran single pertama berjudul Empati yang dijangka dilancarkan selepas Aidilfitri.

Single ciptaan Nami Harez, Hizey Wan dan Jack Jafni itu turut menjadi lagu runut bunyi filem Seandainya Kau Ada terbitan Zeel Production.

"Penggambaran video muzik dilakukan di Perlis selama tiga hari pada 10 April lalu. Demi mendapatkan momen matahari terbit, saya kena bangun sebelum Subuh.

"Penggambaran berakhir sampai matahari terbenam. Pelbagai cabaran dilalui semasa penggambaran termasuk perlu berbaring dalam semak dipenuhi lalang kering dan tajam.

"Hari kedua, saya terpaksa berhujan hingga demam selain menelusuri tasik kerana mahu konsep bangkit semula selepas dikecewakan," katanya.


-Berita Harian


bottom of page