top of page
  • Writer's pictureNihaba

Jawatankuasa Khas Ditubuh Kenalpasti Penyelesaian Segera Bantu Rakyat Terbeban Kenaikan Harga Barang

2 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Data terkini daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 12.3 peratus tahun ke tahun pada September 2021, berbanding sembilan peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.


Menurut Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau mengikuti secara dekat isu kenaikkan harga barang yang melanda negara ketika ini dan berdasarkan data tersebut dikhuatiri ia akan menyebabkan peningkatan inflasi untuk beberapa bulan akan datang yang tentunya akan membebankan pengguna.

Beliau berkata, selaku Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), beliau memandang serius isu kenaikan harga barang yang pada hemat beliau akan menjejaskan proses pemulihan negara.

“Rakyat yang baru mula dapat menarik nafas lega selepas sektor-sektor ekonomi dibuka semula, kini terbeban dengan masalah kenaikan harga barang yang tentunya menjejaskan kehidupan mereka.”


Tambah Muhyiddin lagi, MPN dalam sidang-sidang yang lepas telah meneliti kesan ke atas keupayaan sektor-sektor ekonomi untuk bangkit pulih sebaik ekonomi negara dibuka semula, terutamanya dari sudut ketidak upayaan penawaran untuk memenuhi pemintaan yang boleh menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

Dalam hal ini, isu kekurangan tenaga kerja yang meruncing dalam pelbagai sektor dan masalah kecairan yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) telah diberikan penekanan khusus oleh MPN, katanya.

Sehubungan itu, MPN telah menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu tenaga kerja bagi mengenalpasti langkah-langkah penyelesaian segera yang boleh dipertimbang dan dilaksanakan oleh Kerajaan.

“Jawatankuasa ini yang diterajui Kementerian Sumber Manusia dan dianggotai pelbagai agensi berkenaan akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN dalam mesyuarat yang akan datang.“Selain itu, MPN turut menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Khas berkenaan isu kekangan aliran tunai dan pembiayaan bagi PMKS untuk mencari penyelesaian segera isu kecairan yang dihadapi PMKS dalam tempoh pemulihan ini. Langkah ini dijangka dapat membantu PMKS memulakan perniagaan atau operasi dengan segera sekaligus meningkatkan keupayaan penawaran. Jawatankuasa ini yang diterajui oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga akan membentangkan laporan dan cadangan penyelesaian kepada MPN,” kata beliau lagi dalam satu kenyataan media pada Khamis.

“Saya berharap agensi penguatkuasa akan terus melipatgandakan usaha penguatkuasaan untuk memastikan pengeluar, pembekal dan peniaga tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pada kadar yang tidak munasabah. Tindakan undang-undang yang tegas mesti di ambil di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 ke atas mereka yang ingkar.

“Saya juga berpandangan sebuah Jawatankuasa Kabinet wajar ditubuhkan untuk menangani isu kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.”

Bagi membantu meringankan beban rakyat pada waktu yang sukar ini, Perikatan Nasional akan menganjurkan Gerai Prihatin yang menjual barangan keperluan harian pada harga murah di seluruh negara.


YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, Ahli Majlis Tertinggi PN dan Naib Presiden Parti Bersatu Malaysia yang juga merupakan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, telah dipertanggungjawabkan untuk mengetuai jawatankuasa di peringkat nasional bagi menganjurkan Gerai Prihatin Rakyat.

bottom of page