top of page
  • Farah

JDT, Sabah FC dan KDA FC teruskan momentum kemenangan


KUALA LUMPUR, 2 Mac - Juara Liga Super sembilan kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan mereka tiada tandingan apabila mudah membelasah Kuala Lumpur (KL) City FC 3-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam tadi. JDT memulakan perlawanan dengan garang apabila melancarkan serangan bertali arus sejak awal permainan. Usaha itu berhasil apabila tampanan gol sendiri penyerang KL City, Romel Morales memberi gol pertama JDT pada minit ke-41. Skuad Harimau Selatan meneruskan rentak cemerlang di babak kedua dengan mencetak gol menerusi tandukan tajam pemain tengah, Endrick Dos Santos pada minit ke-52. KL City cuba bangkit dengan melancarkan serangan dalam usaha merapatkan jurang kedudukan. Namun, kelekaan tuan rumah dihukum menerusi sepakan padu Pemain Paling Bernilai musim lalu, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-90, sekali gus menyaksikan JDT menang bergaya 3-0.


Sementara itu, aksi sengit di Stadium Likas, Kota Kinabalu menyaksikan tuan rumah, Sabah FC cemerlang mengumpul tiga mana penuh dengan menewaskan Kelantan United 3-1. Skuad Sang Badak membuka jaringan menerusi sepakan penalti penyerang, Darren Lok pada minit ke-21. Selang lima minit kemudian pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-Su menambah jaringan Sabah sebelum pemain tengah, Telmo Ferreira Castanheira menambah duka Kelantan United dengan gol ketiga pada minit ke-46. Kelantan United berjaya menjaringkan gol saguhati menerusi Indra Putra Mahayuddin pada minit kecederaan, sekali gus menyaksikan jaringan kekal 3-1 sehingga tamat permainan. Sementara aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar menyaksikan pemain muda Kedah Darul Aman (KDA) FC, Mohd Fadzrul Danel Mohd Nizam berjaya meledak gol tunggal pasukannya ketika menewaskan Terengganu FC 1-0. Jaringan tersebut hadir pada minit terakhir permainan, sekali gus memberi kemenangan kedua buat Sang Kenari musim ini. Manakala, di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, Georgetown pertemuan antara pasukan Penang FC dan Negeri Sembilan FC, berakhir tanpa sebarang jaringan serta kekal 0-0 sehingga wisel penamat. Kedua-dua pasukan sebelum ini turut melakar keputusan seri pada aksi pertama Liga Super minggu lalu.

bottom of page