top of page
newsatmy

JDT tamatkan kemarau empat tahun tanpa gelaran Piala FA


KUALA LUMPUR,11 Sept: Dua gol jaringan penyerang dari Brazil Bergson da Silva, membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau empat tahun tanpa gelaran Piala FA, selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1, pada aksi final musim 2022 di sini, hari ini. Lebih manis, selain menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA, ini juga merupakan kejayaan pertama ketua jurulatih baharu JDT dari Venezuela Hector Bidoglio, selepas bekas pengendali mereka Benjamin Mora, meninggalkan pasukan berkenaan atas urusan peribadi, Julai lepas. Kali terakhir JDT menjuarai Piala FA adalah pada 2016 selepas menundukkan PKNS FC 2-1. Piala FA 2020 dan 2021 dibatalkan susulan pandemik Covid-19.


Bermain di hadapan 84,321 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, JDT yang turun dengan reputasi selaku juara bertahan Liga Super, melaungkan amaran awal apabila percubaan deras pemain sayap lincah Arif Aiman Mohd Hanapi, terkena tiang sebelah kanan TFC pada minit ke-11.


Tatkala JDT kian mendapat rentak perlawanan, TFC memperoleh peluang keemasan menjaringkan gol pembukaan namun ketua pasukan Kipre Tchetche, gagal memanfaatkan serangan balas pasukannya selepas sepakan dari jarak dekat dinafikan penjaga gol berpengalaman, Mohd Farizal Marlias pada minit ke-25.


Sembilan minit kemudian, Arif Aiman yang menerima lorongan pemain import dari Argentina Leandro Velazquez, berjaya meletakkan pasukan bimbingan Hector Bidoglio itu, di depan 1-0, apabila sepakan kaki kirinya menembusi gawang skuad ‘Penyu’ dan kedudukan itu kekal sehingga separuh masa pertama tamat.


JDT hanya memerlukan seminit selepas waktu rehat bersambung untuk menguji gawang pasukan kendalian Nafuzi Zain, selepas rembatan kencang dari jarak 30 meter oleh Bergson da Silva, ditepis keluar Muhammad Rahadiazli Rahalim.


Bagaimanapun, kesilapan Muhammad Rahadiazli yang melakukan terjahan ke atas Bergson, membawa padah apabila JDT dianugerahkan sepakan penalti, sebelum ayam tambatan berusia 31 tahun itu dengan tenang menyempurnakannya, untuk melebarkan kedudukan kepada 2-0 pada minit ke-63.


Jaringan Tchetche pada minit ke-75 dilihat seakan-akan cuba menyalakan api kebangkitan TFC, sebelum Muhammad Rahadiazli sekali lagi melakukan kesilapan, apabila tindakannya yang keluar lebih awal dari kotak penalti bagi mengeluarkan bola dalam kedudukan bahaya memberi keuntungan kepada JDT, selang tiga minit kemudian.


Pemain gantian, Mohamadou Sumareh yang menghidu kealpaan penjaga gawang lawan melakukan hantaran pendek kepada Bergson, sebelum beliau melakukan umpanan ke dalam pintu gol TFC, sekali gus melengkapkan malam cemerlang buat pasukannya untuk meraih kejuaraan kedua musim ini, selepas menjulang Piala Sumbangsih, menewaskan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC 3-0, Februari lepas.


Perlawanan akhir itu turut diserikan dengan keberangkatan Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, yang turun bersalaman para pemain sebelum sepak mula pada pukul 9 malam.


Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri dan Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi. – BERNAMA

Comments


bottom of page