top of page
  • Farah

Jelajah Malaysia ke-54 ditunda ke 28 Feb


KUALA LUMPUR 22 Feb: Perlumbaan jelajah berbasikal tertua di Asia, Jelajah Malaysia ke-54 (JM54) yang dijadual bermula pada 26 Feb, ditunda kepada 28 Feb hingga 2 Mac, menurut kenyataan dikeluarkan pihak penganjur.


Ketua Pegawai Eksekutif D'Wau Holidays Travel Sdn Bhd Datuk Risma Yurini Rizrul berkata keputusan tersebut sekali gus menyaksikan perlumbaan sebanyak lima peringkat sejauh 728.45 kilometer (km) itu kini dikurangkan kepada tiga peringkat iaitu sejauh 417.2km sahaja.


Menurut kenyataan itu, perlumbaan tersebut kini melibatkan Peringkat 1 dari Shah Alam ke Teluk Intan sejauh 154.3km, Peringkat 2 dari Bagan Datuk ke Tanah Rata (139.7km) dan diakhiri dengan Peringkat 3 dari Tapah ke Meru Raya (123.2km).

Bagaimanapun, pihak penganjur belum memberi maklum balas mengenai mengenai sebab penundaan tersebut.


Perlumbaan diklasifikasikan sebagai kategori 2.2 oleh Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) itu sebelum ini akan dimulakan dengan Peringkat 1 dari Melaka ke Bandar Baru Bangi sejauh 161.96 km; Peringkat 2 Setia Alam-Cyberjaya (149.98 km); Peringkat 3 Shah Alam-Teluk Intan (154.30 km); Peringkat 4 Bagan Datuk-Tanah Rata (139.69 km) dan Peringkat 5 Tapah-Meru Raya (122.52 km).


Sebanyak 24 pasukan melibatkan 120 pelumba profesional dari benua Eropah, Asia, Oceania dan Amerika telah mengesahkan penyertaan setelah lebih empat tahun perlumbaan itu ditangguhkan akibat COVID-19.

-- BERNAMA

bottom of page