top of page
  • admin

JKM siap sedia hadapi banjir, 6,010 PPS dikenal pasti


SUNGAI BULOH, 15 Sept – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersiap sedia untuk berdepan kemungkinan Monsun Timur Laut yang dijangka mengakibatkan beberapa negeri dilanda banjir.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, tahap kesiapsiagaan kini adalah 90 peratus dengan baki tugas yang lain akan diselesaikan awal Oktober ini.


“Sekarang ini saya ingat (tahap kesiapsiagaan) dalam 90 peratus. Sebab kita masih ada lagi simulasi yang sedang dibuat dan akan berakhir awal Oktober. Kalau kita lihat ramalan kaji cuaca, kali ini dijangka pantai timur akan berlaku lebih awal iaitu hujung Oktober hingga pertengahan November.


“Jadi, persediaan sukarelawan kita sudah ada senarainya, tapi kita memerlukan penyertaan ramai lagi sebab sukarelawan bukan hanya mendaftar, tapi kita bagi taklimat dan melatih cara untuk membantu di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Itu masih kita jalankan,” katanya ketika ditemui media selepas meninjau depoh simpanan keperluan bencana (DKSB) Sungai Buloh di sini, pada Rabu.


Beliau berkata, tahun ini, jumlah depoh penyimpanan di seluruh negara kekal lapan, namun kementerian ada membuat penambahan dari segi jumlah stor.

“Kalau sebelum ini 105 (stor) naik kepada 140 dan juga kalau kita lihat PPS juga meningkat. Kalau tahun lalu kita ada 5,731 PPS, tahun ini kita sudah kenal pasti 6,010 PPS. Begitu juga dari segi belanjawan tahun ini ada kenaikan RM1.28 juta iaitu RM9.16 juta berbanding RM7.3 juta tahun lalu,” katanya.


Katanya, tahun ini, pihaknya juga menyediakan pembekalan makanan secara teknologi retort, yang disifatkan satu pembaharuan dalam membantu mangsa banjir yang terjejas dan di kawasan kritikal.


“Sebelum ini banyak yang terputus hubungan jalan dan sebagainya sehingga mereka tak boleh keluar ke PPS, itu juga kita sediakan untuk kawasan kritikal yang sudah dikenal pasti. Jadi itu (makanan retort) kita bantu bagi memudahkan mereka.


“Dengan kerajaan negeri juga, supaya kita dapat menambah baik kebajikan mangsa di PPS, di mana sukarelawan juga meningkat. Kalau tahun lalu 7,000, tahun ini sudah hampir mencecah 10,000.

“Kita harapkan lebih ramai lagi sukarelawan kita,” katanya turut menyarankan badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu menjadi sukarelawan.


Beliau berkata, jumlah 7,000 kakitangan JKM di seluruh negara tidak mencukupi untuk mengurus lebih 6,000 PPS.

“Kita memerlukan kerjasama dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta NGO. Kita sama-sama membantu apabila ada mereka yang dilanda bencana. Perlukan penyelarasan bersama semua pihak,” katanya.

bottom of page