• Arissa

JOHOR agih 8,000 peranti untuk PdPR

23 Ogos 2021

ISKANDAR PUTERI: Sebanyak 8,000 peranti termasuk komputer dan internet jalur lebar mudah alih akan mula diagihkan kepada pelajar memerlukan di negeri ini mulai bulan depan.


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang, berkata ia membabitkan peruntukan berjumlah RM25 juta.


Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa berkata kerajaan Johor memilih menyalurkan kemudahan itu kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) dan anak ibu tunggal kerana ia lebih praktikal digunakan selain mempunyai kapasiti memori lebih besar bagi menampung sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).


“Sebanyak 8,000 peranti ini akan dijadikan aset sekolah dan akan dipinjamkan kepada 8,000 pelajar kurang berkemampuan. Inisiatif ini termasuk membekalkan 8,000 internet jalur lebar mudah alih khas untuk kegunaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2022, juga akan diserahkan kepada sekolah.


“Proses perolehan 8,000 peranti ini sudah dilaksanakan bulan lalu dan akan mula diedarkan kepada sekolah serta pelajar mulai awal September. Proses ini dijangka selesai sepenuhnya pada November,” katanya.


Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (AMANAH-Parit Yaani) yang juga Ketua Pembangkang, berhubung status inisiatif pemberian 8,000 peranti kepada pelajar memerlukan bagi pelaksanaan PdPR di Johor pada Persidangan Keempat DUN Johor yang ke-14, hari ini.


Beliau yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tebrau berkata, cabaran mendapatkan kemudahan itu disebabkan kekurangan dan gangguan pada rantaian pembekalan menyebabkan ia lewat diagihkan kepada sekolah dan pelajar.


“Namun kerajaan Johor mendapat kerjasama secara terus dengan pengeluar peranti tanpa melalui pihak ketiga bagi meminimumkan gangguan berkenaan.


“Setakat ini kita sudah selesai membuat senarai pendek agihan 8,000 peranti berkenaan. Daerah Johor Bahru, Pasir Gudang dan Kluang adalah penerima tertinggi inisiatif berkenaan,” katanya.


Katanya, ia membabitkan sebanyak 47 sekolah di Johor Bahru dengan 1,316 pelajar, Pasir Gudang (38 sekolah, 1,064 pelajar) dan Kluang (29 sekolah, 812 pelajar).


Beliau berkata, pihaknya juga akan mencadangkan inisiatif berkenaan diperluaskan lagi di negeri ini bagi memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar memerlukan.


“Cadangan itu akan dimasukkan dalam Belanjawan Johor 2022. Sekurang-kurangnya, jika tidak dapat menambah kuantiti peranti, kita dapat sambung bayaran sewa talian internet jalur lebar mudah alih untuk pelajar terpilih yang menerima peranti berkenaan,” katanya.



--PN Online