top of page
  • newsatmy

JPJ Kedah saman lapan lori bawa lebih muatan dan berbahaya


SUNGAI PETANI, 4 Jan- Beroperasi pada waktu malam dan awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Namun taktik tersebut gagal mengaburi pihak berkuasa. Hasil Ops Khas Kenderaan Barangan (KPB) yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Kedah di sekitar Sungai Petani, lapan buah lori dikenakan tindakan saman kerana membawa lebih muatan dan memandu secara merbahaya. Pengarah JPJ Kedah, Aman Shah Hashim berkata operasi yang bermula pukul 11.00 malam dan berakhir pukul 8.00 pagi itu bagi mengesan kenderaan yang membawa muatan melebihi had yang dibenarkan dan berbahaya. Hasil penguatkuasaan yang dijalankan, lapan kenderaan termasuk yang membawa kayu getah telah dikenakan tindakan saman kerana membawa muatan secara bahaya. Beliau berkata, semua kesalahan telah diambil tindakan berdasarkan peruntukan akta dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 & Kaedah - kaedah Pengangkutan Jalan. JPJ Kedah tidak akan berkompromi dengan pemandu lori yang membawa lebih muatan dan memandu secara berbahaya. Tegas Aman Shah, penguatkuasaan secara berfokus dan berterusan dilaksanakan bagi memastikan pemandu dan pengusaha kenderaan perdagangan mematuhi peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa. Pada masa sama memastikan kenderaan selamat digunakan di jalan raya serta mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Sementara itu, dalam kes berasingan di Sungai Petani, pihaknya menahan sebuah lori yang mencurigakan. Hasil pemeriksaan awal mendapati tangki minyak lori berkenaan telah diubah suai dengan tujuan bagi mengisi minyak diesel dalam kuantiti yang banyak. Pemeriksaan lanjut juga mendapati, pemandu lori berkenaan tidak mempunyai lesen memandu, lesen vokasional, lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh dan tidak mempamerkan disc pemeriksaan berkala Puspakom. Tindakan melibatkan kesalahan pemandu dan kenderaan telah diambil dibawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan. Manakala lori berserta muatan minyak berkenaan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut dibawah Akta berkaitan.


bottom of page