top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

JPS ramal banjir di empat negeri

29 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Jabatan Saliran dan Pengairan (JPS) meramalkan banjir akan berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor hujung minggu ini.


JPS meramalkan banjir di empat negeri itu susulan amaran hujan berterusan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 28 Dis.


Di Kelantan, dijangka banjir akan berlaku mulai 8 malam pada 31 Dis, di Sungai Kelantan dan Sungai Golok.


“Banjir akan melibatkan beberapa daerah berhampiran Sungai Kelantan namely Gua Musang, Kuala Krai, Jeli, Tanah Merah dan Machang serta kawasan sekitar.


“Daerah berhampiran Sungai Golok juga diramalkan seperti Tanah Merah (Jenob) dan Pasir Mas (Rantau Panjang) serta kawasan sekitarnya berisiko dinaiki air,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu (29 Dis).


JPS juga meramalkan banjir di Terengganu akan bermula pada 31 Dis jam 8 pagi berhampiran Sungai Besut membabitkan daerah Besut.


“Juga diramalkan mereka yang tinggal berhampiran Sungai Terengganu dan kawasan sekitarnya berisiko dilanda banjir.


"Dungun yang berhampiran dengan Sungai Dungun juga diramalkan banjir bermula 31 Dis ini," katanya.


Bagi Pahang, JPS meramalkan banjir akan bermula pada 1 Jan, berhampiran Sungai Pahang, Sungai Kuantan dan Sungai Rompin pada 8 pagi.


“Banjir dianggarkan berlaku di daerah berhampiran Sungai Pahang iaitu Maran, Temerloh dan Jerantut.


“Dijangka limpahan air Sungai Kuantan akan menjejaskan Kuantan khususnya kawasan Sg Lembing dan Sungai Rompin yang melibatkan daerah Rompin serta kawasan sekitar yang berisiko dinaiki air,” katanya.


JPS berkata banjir mungkin berlaku pada 1 Jan di Johor berhampiran Sungai Mersing membabitkan daerah Mersing dan kawasan sekitarnya yang berisiko bermula jam 8 pagi.


Ia juga menasihatkan penduduk di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan mematuhi arahan pihak berkuasa.


Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini dan makluman mengenai banjir melalui laman web publicinfobanjir.water.gov.my, laman Facebook di PublicinfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir.

bottom of page