top of page
  • newsatmy

Jualan tiket MotoGP belum cecah 50 peratus - SIC


KUALA LUMPUR 13 Ogos : Jualan tiket Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) Malaysia dijadual berlangsung pada 21 hingga 23 Oktober belum mencecah 50 peratus.


Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Azhan Shafriman Hanif berkata, kemungkinan penjualan tiket bermula April lepas sedikit perlahan disebabkan ketiadaan pelumba Malaysia dalam penganjuran edisi kali ini.

"Selain itu, faktor sebanyak 25 peratus cukai hiburan dikenakan Kerajaan Negeri Selangor turut mempengaruhi harga tiket yang meningkat sekali ganda," katanya ketika ditemui Bernama.

Beliau berkata walaupun jualan tiket mempamerkan trend peningkatan daripada peminat sukan permotoran tanah air sejak tiga minggu lepas, jualan tiket masih belum mencapai 50 peratus.


Sehubungan itu, beliau berkata pihak SIC sedang membuat perbincangan dengan pihak kerajaan negeri bagi membuat pengurangan cukai hiburan berkenaan dalam usaha melonjakkan jumlah penjualan tiket.


"Tahun lepas kita sudah berbincang dengan Menteri Besar Selangor tetapi setakat ini kita belum dapat apa-apa kata putus lagi. Sebelum ini kita dapat pengecualian sampai tahun lepas, tapi tahun ini tiada pengecualian.

"Jadi sekiranya cukai dikenakan itu dapat dikurangkan kita menjangkakan jualan tiket dapat bergerak lebih laju. Bagi yang sudah membeli tiket pula SIC akan membuat bayaran balik kepada mereka," katanya.


Beliau memaklumkan jualan tiket tahun ini bermula dengan harga serendah RM90 hingga lebih RM500.

"Sebenarnya harga itu jauh berbeza dengan edisi terdahulu yang bermula RM40 selepas kerajaan negeri memberi pengecualian bagi cukai hiburan," katanya.

Azhan Shafriman pada masa sama optimis perlumbaan di SIC itu tetap akan berlangsung meriah selepas dua tahun penganjuran di negara ini dibatalkan ekoran wabak COVID-19.

-- BERNAMA

bottom of page