top of page
Writer's pictureArissa Azman

Judi dan arak: DAP tunjukkan wajah sebenar

16 NOVEMBER 2021

Kerajaan Negeri Kedah diharap tidak melayan politikus kurang akal yang sudah dijangka akan menentang usaha menamatkan operasi judi dan mengurangkan penjualan arak di negeri itu. Kemunculan segera pimpinan DAP membantah keputusan itu bagaikan timbulnya buaya di air tenang.


Bahkan seperti dijangka juga, mereka akan memanaskan isu ini dengan menjebaknya ke kancah perkauman dan politik sempit. Sedangkan tindakan kepimpinan YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor adalah usaha besar menyelesaikan kemelut, masalah dan penyakit sosial serta rantaian jenayah dalam kalangan manusia dan negara.


Bantahan beremosi para pemimpin DAP kerana senak otak dengan keputusan Kedah itu bukanlah kerana memperjuangkan hak seperti didakwa mereka kononnya. Adakah ini satu petunjuk bahawa DAP adalah sebahagian daripada dalang di sebalik banyak aktiviti, kegiatan dan industri dari judi dan arak?


Hasil lumayan dari industri dosa ini menjadi dana dan pembiayaan untuk survival politik pihak tertentu yang menjadi ‘pelindung’ kepada judi dan arak. Paling merbahaya, dari keduanya terdapat ‘lembaga’ lebih besar bermaharajalela pada ‘black economy’ yang menjahanamkan negara.


Kerajaan perlu sensitif dan memahami liciknya kedua unsur ini menjalar dalam masyarakat hingga menumbuhkan banyak masalah dan jenayah lain. Bukan sahaja kerosakan kesihatan individu dan keruntuhan institusi keluarga, tapi di sana juga berkembang biak dadah, pelacuran, kecurian, rompakan, pergaduhan, pembunuhan dan banyak jenayah lagi.


Setidak-tidaknya, di sebalik aktiviti judi dan arak yang dilesenkan, wujud lebih banyak perjudian dan arak secara haram dengan terselindung pelbagai masalah dan jenayah lain. Oleh itu, langkah Kerajaan Negeri Kedah adalah usaha mengekang dan membendung kebejatan telah sedia membarah.


Rakyat berharap segala tentangan dan kritikan dihadapkan dari keputusan ini tidak dirasakan Kedah bersendirian. Rakyat yakin majoriti rakyat Malaysia yang waras menyokong penuh keputusan tersebut demi melihat kehidupan rakyat lebih baik dan negara ini aman dari belenggu judi dan arak.


Rakyat juga berharap Kerajaan Persekutuan pimpinan YAB Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob memiliki keberanian dan keazaman politik untuk mengambil langkah serupa. Kantung pendapatan kerajaan mesti disucikan daripada sumber judi dan arak. Lesen berkaitan mesti ditamatkan dan dihapuskan.


Rakyat percaya, cita-cita murni mewujudkan Keluarga Malaysia, hanya akan dapat direalisasikan antaranya dengan menghapus punca penyebab kepada masalah-masalah masyarakat. Lebih banyak duri dibuang di jalanan, akan lebih laju kita semua dapat melangkah dan selamat.


Sedangkan Orang China Tiong Hua boleh sokong Kerajaan Kedah hapus judi. Takkan DAP Melayu Islam hendak bela judi pula?



Comments


bottom of page