top of page
  • newsatmy

Kabinet bayangan?Masanya sudah tiba?


Felo penyelidik Policy Research Group (PRG), Nashril Abaidah menyarankan agar kerajaan dan pembangkang mula untuk mempertimbangkan usaha menginstitusikan kabinet bayangan di peringkat Dewan Rakyat sebagai usaha mengukuhkan amalan demokrasi di negara ini.

Cadangan itu seiring usaha “political reset” yang diusahakan beberapa ahli parlimen pembangkang ketika ini.


Walau bagaimanapun, cadangan berkenaan hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud iltizam politik yang tinggi untuk menubuhkan dan mengiktiraf kabinet bayangan selaras dengan amalan demokrasi berparlimen, tambah Nashril.


“Kewujudan kabinet bayangan secara sah sudah lama dinafikan.


“Sudah tiba masanya kerajaan mewujudkan sistem ini secara rasmi bagi membolehkan pembangkang memainkan peranan lebih penting dalam sistem demokrasi negara.


“Kerajaan dan pembangkang yang komited terhadap prinsip demokrasi akan memahami perlunya semak dan imbang, dan kewujudan sistem ini boleh menyuburkan lagi demokrasi Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, di Astro Awani pada Jumaat.


Mengulas lanjut, Nashril berkata kenyataan bahawa PH tidak memerlukan kabinet bayangan disifatkan sebagai gagal mencerminkan semangat yang mendokong demokrasi berparlimen.


Katanya lagi, isu asas kabinet bayangan bukan untuk PH semata-mata, sebaliknya ia perlu bagi menyuburkan demokrasi selaras dengan amalan Westminster.


Selain itu, Nashril berpandangan kegagalan untuk mewujudkan kabinet bayangan sebelum ini adalah berpunca daripada kekurangan dana dan maklumat.


“Ini kerana kabinet bayangan bukanlah satu institusi yang diiktiraf sebagai sebuah institusi rasmi.


“Ketika ini hanya jawatan Ketua Pembangkang sahaja yang diiktiraf.


“Buat masa ini, kabinet bayangan sukar untuk berfungsi berikutan kekurangan dana dan maklumat yang diperlukan anggota Kabinet bayangan untuk menjalankan tugas dengan berkesan.


“PRG percaya beberapa usaha untuk menjayakan Kabinet bayangan (secara tidak rasmi) sebelum ini juga gagal kerana kekurangan sumber,” ujar beliau.


Justeru itu, perkara itu katanya, menyebabkan tidak wujud sistem semak dan imbang yang mantap serta perdebatan yang berkualiti di Dewan Rakyat kerana maklumat dimonopoli oleh satu pihak sahaja.


bottom of page