top of page
  • admin

Kaedah konvensional ternak babi punca pencemaran sumber air di Tanjung Sepat - Exco


SHAH ALAM,28 Sept: Pencemaran sumber air yang dihadapi penduduk Tanjung Sepat, Kuala Langat dekat sini didapati berpunca daripada penternak babi yang menggunakan kaedah penternakan dan kawalan pencemaran konvensional.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor Hee Loy Sian berkata berdasarkan lawatan bersepadu ke atas beberapa premis ladang ternakan babi di Tanjung Sepat pada 23 Sept lepas mendapati pengusaha ladang tidak menggunakan kaedah penternakan tertutup seperti kaedah penternakan babi secara moden.


Hee berkata pengurusan kumbahan najis ternakan hanya melalui pengumpulan di kolam-kolam takungan di dalam premis ternakan menyebabkan efluen daripada kolam tersebut seterusnya disalirkan ke perparitan di luar premis dan akhirnya ke perairan pantai. "Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) akan mengarahkan semua pengusaha terlibat untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan penyelenggaraan ke atas ladang ternakan dan sistem kumbahan dengan segera.


"Najis-najis ternakan juga perlu dilupuskan di luar kawasan ladang ternakan dan dihantar ke tapak pelupusan yang dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan yang melaporkan kegiatan penternakan babi di kawasan Tanjung Sepat sehingga menyebabkan penduduk setempat berdepan masalah pencemaran bau dan saliran air hampir 30 tahun.


Mengulas lanjut, Hee berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) juga akan mengarahkan pemilik tanah berkaitan untuk melaksanakan segera tindakan pemulihan saliran-saliran parit di dalam tapak sehingga air yang dilepaskan keluar selain pensampelan kualiti air turut akan dilaksanakan dan tindakan perundangan akan diambil sekiranya terdapat elemen pencemaran berlaku.


"Bagi jangka panjang, saya akan menyelaraskan perbincangan lanjut bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Izham Hashim untuk sesi dialog bersama persatuan dan semua pengusaha penternakan babi di Selangor.


"JPV akan menyelaraskan perancangan dan memperkemas pengurusan operasi ternakan bersama pengusaha-pengusaha yang berkaitan. Matlamat utama adalah pengurusan tinja ternakan yang perlu dilaksanakan secara bersistematik dan tidak mencemarkan sumber air berhampiran," katanya.


Hee berkata berdasarkan rekod JPV, terdapat 118 premis ternakan babi aktif beroperasi di Kuala Langat dan sebahagian kecil di Sepang.


"Ternakan ini dijalankan di atas tanah lot berstatus pertanian. Kesemua premis ini beroperasi dengan lesen yang didaftarkan oleh JPV," katanya.

-- BERNAMA

Comments


bottom of page