top of page
  • Farah

Kaji semula sistem pengambilan pelajar MRSM



SERDANG, 28 Ogos – Majlis Amanah Rakyat (MARA) disaran mengkaji semula sistem pengambilan pelajar untuk memasuki Maktab rendah Sains Mara (MRSM) yang didakwa tidak lagi selari dengan matlamat penubuhannya.


Pengerusi PN Wilayah Persekutuan, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya berkata, MRSM yang tujuan asal penubuhannya untuk membantu pelajar Bumiputera daripada keluarga berpendapatan rendah, kini menjadi sekolah elit yang dipenuhi pelajar daripada keluarga berkemampuan, bukannya yang memerlukan.


Sehubungan itu, Muhammad Suhaimi mencadangkan supaya satu badan khas diwujudkan untuk mengesan pelajar cemerlang yang layak daripada golongan B40 dan luar bandar, seterusnya menawarkan peluang menyambung pelajaran di MRSM.

“Apa salahnya kalangan ini diberi terus surat tawaran yang layak, keutamaan adalah golongan miskin B40 di luar bandar, jika mereka menolak barulah berikan tawaran kepada pelajar lain,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perwakilan pada Konvensyen PN 2022 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) semalam.


Hadir dalam Konvensyen PN adalah, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin; Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang, Datuk Seri Yong Teck Lee, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

bottom of page