top of page
  • newsatmy

Kalau setakat jumpa waktu lunch, itu bukan perjumpaan rasmi – Wan Saiful tegur PM


KUALA LUMPUR, 16 Ogos – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan telah bertemu dengan delegasi pimpinan Perikatan Nasional (PN) adalah satu penipuan dan tidak beradab.


Beliau menggesa Ismail menjelaskan tindakannya menipu media dan rakyat.

“Kalau belum betul-betul jumpa, kata sajalah belum jumpa. Walaupun acuan UMNO, jangan mudah menipu rakyat.

“Kalau setakat jumpa waktu lunch, itu bukan perjumpaan rasmi yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan .


Pada Sabtu lalu, Ismail berkata beliau telah mengadakan pertemuan bersama PN dua minggu lalu.


Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung pada minggu terakhir sesi sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen itu dihadiri Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Bendahari PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.


Bagaimanapun, Ahmad Samsuri hari ini berkata PN sedang mengusahakan pertemuan baharu dengan Ismail selepas pertemuan 4 Ogos lalu.


Beliau yang juga Bendahari PN berkata isu dibangkitkan PN dalam pertemuan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat itu memerlukan satu ruang baharu bagi membolehkan delegasi penuh untuk berjumpa dengan Perdana Menteri.


Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu berkata pertemuan santai itu banyak berkisar kepada isu tertangguh antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Dalam pada itu, Wan Saiful berkata beliau berterima kasih kepada Ahmad Samsuri yang mengesahkan kenyataan beliau tempoh hari berhubung Ismail belum berjumpa dengan PN secara rasmi.


Katanya, wakil rasmi yang PN namakan adalah empat orang iaitu Hamzah, Penolong Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Ahmad Samsuri dan Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Semasa (Pengerusi PN) Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, dia menubuhkan Majlis Presiden parti-parti dalam kerajaan.

“Semua Presiden parti ada dalam Majlis Presiden itu. Itu barulah Perdana Menteri yang berani. Bercakap depan-depan secara rasmi, bukan sembang waktu lunch,” katanya.


Beliau juga mempersoalkan apa yang ditakutkan Ismail untuk berjumpa dengan delegasi PN.

“Apa yang Ismail takut sangat. Nak jumpa kawan segabungan secara rasmi pun tak berani.

“Atau ada perkara yang Ismail mahu sembunyi dan takut delegasi PN tanya. Maklumlah kita sudah tahu mengenai pelbagai skandal seperti kapal tempur pesisir pantai (LCS) yang kena atas batang hidung pemimpin UMNO sekarang ini,” katanya.

bottom of page