top of page
  • admin

Kami akan kembali lebih besar dan kuat


GEORGETOWN, 7 Mac – Empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada BERSATU yang diarah mengosongkan kerusi masing-masing di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, berikrar untuk kembali dengan lebih kuat pada pilihan raya negeri (PRN) akan datang.


Bekas ADUN Bertam, Khaliq Mehtab Mohd Ishaq, berkata meskipun keadaan yang tidak berpihak kepada mereka itu cukup perit untuk diterima, beliau bersama tiga lagi rakan senasib dengannya itu mengaku akur dengan keputusan terbabit.


“Tidak mengapalah kami terpaksa menerima perkara ini walaupun perit, tetapi Insya Allah kami akan kembali dengan lebih besar dan lebih kuat,” katanya ketika ditemui pemberita di perkarangan DUN Pulau Pinang.


Persidangan DUN Pulau Pinang hari ini meluluskan usul pengisytiharan kekosongan empat kerusi yang diwakili ADUN BERSATU di bawah Fasal 14A(1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.


Speaker, Datuk Law Choo Kiang mengesahkan keputusan itu dicapai setelah selesai sesi perbahasan daripada semua ADUN yang mengambil bahagian dengan sokongan majoriti ADUN yang sebulat suara bersetuju meluluskan usul terbabit.


Choo Kiang meluluskan usul itu menerusi undian suara selepas semua ADUN yang hadir menyatakan ‘ya’ kedengaran lebih ramai dan kuat berbanding menyatakan ‘tidak’.

Selain Khaliq, tiga lagi ADUN terbabit adalah Dr Afif Bahardin (Seberang Jaya), Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh) dan Zolkifly Md Lazim (Telok Bahang).


Dalam pada itu, Khaliq menyatakan rasa hairan apabila wakil rakyat daripada Barisan Nasional (BN) iaitu ADUN Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor, masih menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Pembangkang pada pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima DUN ke-14 semalam.


Ketika ini, Pakatan Harapan (PH) memiliki 33 daripada 40 kerusi DUN Pulau Pinang dengan ADUN Penaga dari PAS, Yusni Mat Piah, satu-satunya wakil Perikatan Nasional (PN) dalam DUN, manakala dua lagi kerusi dimiliki BN.


Khaliq sepatutnya dicadangkan sebagai Ketua Pembangkang baharu berkata, adalah malang apabila mandat terbabit tidak dapat direalisasikan selepas usul berkenaan kekosongan kerusi diluluskan.


Beliau juga khuatir sama ada baki tiga wakil rakyat yang berada di blok pembangkang dapat menjalankan tugas semak imbang secara efektif susulan perkembangan terbaharu itu.

“Hari ini empat orang kami dipaksa keluar meninggalkan dewan….apakah akan jadi kepada suara pembangkang.

“Saya kasihan kepada sahabat saya ADUN Penaga kerana pada peringkat PN cuma tinggal beliau seorang sahaja,” ujarnya.

bottom of page