top of page
admin

KBS ajak belia ziarah gereja? Apa masalahnya?


KECOH apabila program Jom Ziarah Gereja diperkenalkan baru-baru ini menerusi entiti Impact Malaysia bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS).


Ziarah Gereja merupakan antara intipati di bawah projek Projek Artikel 11 yang kononnya berobjektifkan melahirkan belia yang inklusif melalui aktiviti lawatan dan kesukarelawanan di Lembah Klang. Nama Projek Artikel 11 pula diambil bersempena Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan yang membicarakan berkenaan kebebasan beragama.


Jadi, apakah masalahnya?


Pertama sekali, dalam memahami berkenaan dengan kebebasan beragama di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan, ia bukanlah ‘bluntly‘ bermaksud kebebasan beragama mutlak seperti mana faham sebahagian orang. Bukan!


Sebabnya, kebebasan beragama di bawah Perlembagaan Persekutuan bukanlah sebuah kebebasan mutlak. Ia memberikan sebuah kebebasan dalam masa yang sama ada keistimewaan khusus kepada agama Islam dan terdapat beberapa ‘restriction‘ yang perlu dipatuhi.


Dalam kebebasan beragama ini, ada 3 aspek yang jelas disentuh oleh Perkara 11(1), iaitu:


1. Hak untuk menganut – ‘Right to Profess‘.

2. Hak untuk mengamalkan – ‘Right to Pratice‘.

3. Hak untuk menyebarkan – ‘Right to Propagate‘.


Setiap rakyat Malaysia bebas untuk menganut dan mengamalkan agamanya. Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain bebas mengamalkan ritual agama masing-masing, tiada masalah. Ini adalah jaminan di bawah Perlembagaan. Mana-mana pihak yang ada usaha menghalang seseorang daripada mengamalkan agamanya, dia telah menyekat salah satu aspek daripada kebebasan beragama dan ia adalah perbuatan yang bertentangan dengan Perlembagaan.


Namun, apabila bersangkutan dengan hak menyebarkan ajaran agama pula, Perlembagaan telah meletakkan suatu had ataupun batas yang melarang perbuatan tersebut dilakukan secara bebas. Kita merujuk kepada Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan:


“(4) Undang-undang Negeri dan berkenaan dengan Wilayah-wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.”


Dalam erti kata lain, penyebaran agama atau doktrin selain daripada Islam terhadap mana-mana orang yang menganuti agama Islam Muslim adalah tidak dibenarkan dan badan legislatif boleh membuat suatu undang-undang bagi menyekat perkara tersebut. Ini jelas dapat difahami daripada tekstual peruntukan tersebut.


Jadi, apakah ada Undang-undang Negeri atau Persekutuan yang menyekat perlakuan ini?


Jawapannya, ada. Boleh rujuk pada Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 Negeri Selangor sebagai contoh. Di dalam enakmen ini, jelas digariskan kesalahan yang melibatkan penyebaran ajaran agama selain Islam kepada Muslim.


Jadi, apakah tindakan KBS yang mengadakan inisiatif untuk menziarahi rumah-rumah ibadat ini merupakan sebuah kesalahan? Ayuh kita lihat Seksyen 5(1)(c) dan Seksyen 6(1)(b) Enakmen ini:


Seksyen 5: Kesalahan mendedahkan orang belum dewasa berugama Islam kepada pengaruh ugama bukan Islam.


(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia menyuruh, menyebabkan, memujuk, mempengaruhi, menghasut, menggalakkan atau membiarkan seorang belum dewasa yang berugama Islam supaya –



(c) mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti yang dijalankan untuk faedah mana-mana ugama bukan Islam atau yang dianjurkan atau dikelolakan oleh apa-apa badan atau institusi yang bertalian dengan mana-mana ugama bukan Islam.


(2) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.


Seksyen 6: Kesalahan mendekati orang Islam untuk mendedahkannya kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.


(1) Seseorang adalah melakukan kesalahan jika dia:

(b) mengatur atau berusaha mengadakan suatu perjumpaan dengan; atau

seorang berugama Islam bagi maksud mendedahkan orang berugama Islam itu kepada apa-apa ucapan atau pertunjukan sesuatu mengenai ugama bukan Islam.


(2) Seseorang yang melakukan kesalahan di bawah seksyen kecil (1) boleh, apabila disabitkan, dikenakan penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua-duanya sekali.


Maka, jelas difahami daripada kedua peruntukan di atas bahawa, inisiatif-inisiatif yang telah dirancang oleh KBS ini merupakan sebuah kesalahan apabila melibatkan orang-orang Islam apatah lagi apabila ada penglibatan orang yang belum dewasa.


Merujuk kembali kepada Projek Artikel 11 yang diterajui oleh Impact Malaysia, saya melihat inisiatif ini perlu untuk ditarik balik kerana inisiatif ini jelas tidak menghormati hasrat Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang mengekang penyebaran agama selain Islam kepada Muslim dan telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam 1988 Negeri Selangor.


DZAFIR FIRDAUS AHMAD ZUBAIRY

Penyelidik

Sejahtera Research Group

Comments


bottom of page