top of page
  • Writer's pictureNihaba

KEADILAN sedia terima calon luar parti, hormati perbezaan pendapat - Anwar

6 November 2021

Menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan kontroversi sama ada bekas ADUN yang menumbangkan pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali akan diterima sebagai calon, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat sidang media khas mencerahkan keadaan sebentar tadi. Menurut Anwar yang juga Presiden KEADILAN, hal yang berlaku di Melaka ketika ini amat unik dan tidak terjadi di negeri lain apabila 4 ADUN yang keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) bertindak atas dasar mahu mengembalikan mandat kepada PH dan bukannya meruntuhkan PH sebagaimana usaha 'melompat' sebelum ini. Oleh itu, kata Anwar, KEADILAN mempunyai definisi tersendiri ke atas tindakan beberapa ADUN berkenaan. "Soal penyertaan ke dalam parti lain dalam kerajaan, kalau mutakhir ini, bermula sejak 2018 di Sabah. Kemudian 13 Ahli Parlimen Umno sertai Bersatu. Itu kenyataan. "Untuk kalangan yang mengasak kita. Satu, orang politik yang tidak semestinya konsisten. Satu lagi pula kalangan media sosial beberapa kelompok yang agak prihatin. "Saya ambil kira fahaman itu dan faham keluhan serta kegusaran mereka dalam beberapa hal. Kita tidak mengenepikan soal itu. Dalam konteks Melaka, saya jelaskan perundingan itu dilakukan oleh pemimpin Melaka dari bulan ke bulan, yang tidak melibatkan kita di pusat. "Tetapi setelah mereka bermuafakat, ada dilahirkan beberapa keberatan, tetapi akhirnya kita akur (keputusan PH Melaka) asalkan terima yang diungkapkan dengan baik oleh saudara Adly, pengerusi PH Melaka, iaitu usaha 4 ADUN berkenaan untuk mengembalikan mandat PH. Ia tak sama dengan orang khianati mandat pilihan raya (PRU 14). "Pilihan raya beri mandat pada PH (sebagai kerajaan). (Tetapi yang ini) mereka berundur daripada parti mereka untuk mengembalikan mandat kapada PH. Itu naratifnya "Walaupun ada berbeda pendapat ada yang tak setuju. Saya hanya sampaikan alasan, naratif yang dikemukakan dalam mesyuarat PH," kata Anwar. Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu, soal lompat parti tidak timbul pada waktu ini kerana DUN telah pun dibubarkan. ADUN yang melompat tidak lagi bergelar ADUN dan semua memerlukan mandat baharu. Oleh yang demikian, ujar Anwar, tidak salah sekiranya 2 daripada 4 yang keluar diberi peluang untuk bertanding di atas tiket PH dalam PRN kali ini. "Apakah kita ambil pendirian menolak sama sekali? Atau memberi ruang dengan syarat mereka menerima dasar kita misalnya tatakelola kerajaan yang baik? "Maka sebab itu pertimbangan (setakat difahami) KEADILAN, memilih satu (calon) dan Amanah pilih satu. Walaupun akan dimuktamadkan lewat malam ini atau esok sebelum kita umumkan calon. Oleh itu, saya mohon maaf kalau ada sedikit berbeza dengan pandangan rakan-rakan yang selama ini menyokong kita. "Tetapi harus kita bezakan pandangan ini dengan pandangan orang yang tidak konsisten, 'dulu boleh sekarang tak boleh'. Tetapi orang yang konsisten menegur dan mengkritik kita, kita terima dengan baik teguran itu," katanya. Dalam pada itu, Anwar tidak menafikan terdapat perbezaan pendapat dengan DAP sebelum ini berhubung isu calon namun dalam perkara besar perjuangan, katanya PH tetap bersatu padu dan terus mendukung tatakelola kerajaan yang baik. "Kita menerima perbezaan dengan baik. Memang ada perbincangan panjang antara DAP, KEADILAN dan Amanah juga Majlis Presiden. "Kita menghormati perbezaan dalam banyak isu. Kadang-kadang saya sendiri ada beberapa keratan besar. Bukan baharu tetapi kita ada satu persefahaman (keputusan), sama ada setuju atau tidak, kita mara terus. "Kerana suasana dan kepentingan ada berbeza, walau perkara asas. Namun tatakelola baik, soal kebangkitan rakyat menentang rasuah, salah guna kuasa, itu DAP, Amanah dan UPKO kita sehaluan," katanya lagi.


bottom of page