top of page
  • newsatmy

“Kebanggaan rakyat Malaysia!” – Menteri Luar Sahkan Misi Berjalan Lancar, Ustaz Ebit Lew Akan Pulang

3 Jun 2021

Pada minggu lalu, pendakwah selebriti terkenal Ustaz Ebit Lew telah membanggakan rakyat Malaysia apabila beliau berangkat ke bumi Gaza untuk menjalankan misi kemanusiaan di sana.

Dalam perkembangan terbaru, Ustaz Ebit dilaporkan akan pulang dari misi tersebut dalam masa terdekat.


Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Luar sendiri Datuk Seri Hishammuddin, dan beliau memaklumkan bahawa misi kemanusiaan Ebit dan delegasinya berjalan dengan lancar. Selain itu, beliau menambah bahawa dirinya sentiasa menanyakan perkembangan berkenaan misi tersebut.


“Saya memang berkomunikasi dengan Ustaz Ebit setiap hari bagi memantau perkembangan misi tersebut.


“Misi beliau berjalan dengan lancar dan beliau turut membantu kita untuk mengetahui apa sebenarnya yang terjadi di sana.


“Jadi kita pantau secara dekat, dan saya percaya beliau bersama delegasi selamat dan akan pulang dalam masa terdekat,” ujarnya dalam satu perkongsian di Facebook pada Selasa.


Selain itu juga beliau turut memberitahu bahawa, segala maklumat berkenaan misi tersebut akan dikongsi kepada umum dari masa ke semasa menurut Sinar Harian.


Dalam pada itu juga, Hishammuddin memaklumkan bahawa pihaknya sempat bertanya maklum balas daripada delegasi berkenaan mengenai bantuan yang betul diperlukan oleh rakyat Palestin ketika ini. Perkara tersebut dilakukan oleh beliau dalam satu sidang media secara atas talian selepas pelancaran kempen Humanitarian Aid Fundraising From Malaysia, For Palestin.


“Sebab itu gerakan-gerakan yang ikhlas dan tidak ada kepentingan lain, usaha sebegini Kementerian Luar Negeri tak teragak-agak untuk terus membantu,” jelasnya.


Sebagai tambahan, Ustaz Ebit dilaporkan berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu bagi menjayakan misi bantuan kemanusiaan dengan menyampaikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang terjejas akibat serangan Israel.


Tambah Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamaruddin Jaffar, pendakwah berkenaan ke Mesir untuk misi tersebut bermula 25 hingga 30 Mei lalu.


Semoga segala urusan Ustaz Ebit dan delegasi di sana sentiasa dipermudahkan. Sama-sama kita doakan keselamatan mereka.

bottom of page