top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Kedah tuntut RM100 juta royalti bagi pajakan Pulau Pinang

28 OKTOBER 2021

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah menuntut bayaran royalti sebanyak RM100 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi pajakan tanah di Pulau Pinang.


Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata Kedah berpandangan bahawa nilai itu adalah wajar dan sesuai dengan nilai semasa berbanding royalti RM10,000 setahun yang diterima oleh negeri tersebut sejak sekian lama selain bayaran khas RM10 juta setahun bermula 2018.


“Kita mohon bayaran royalti Pulau Pinang ini disemak dan dikaji semula mengikut nilai semasa dan tuntutan kita adalah RM100 juta.


“Kita rasa nilai ini kecil di peringkat Kerajaan Persekutuan tetapi di peringkat kerajaan negeri, nilai ini amat besar,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri hari ini.


Beliau berkata nilai RM100 juta setahun yang dituntut itu juga dilihat kecil berbanding pendapatan yang dijana oleh Pulau Pinang.


“Bayarlah kepada kita, RM100 juta sahaja pun. Jangan pula nanti ada pihak yang marah, ini adalah permintaan kita dari segi sejarah dan realiti ataupun hakikatnya macam itu,” katanya sambil menambah Kedah berharap perkara itu akan dipertimbang oleh Kerajaan Persekutuan dalam pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat ini atau dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.


Mengulas lanjut asas tuntutan itu, Muhammad Sanusi berkata tanah Pulau Pinang dipajak sejak 1786 dengan nilai royalti tahunan sebanyak 10,000 dolar Sepanyol dan bayaran itu kemudian dibuat dalam mata wang Ringgit Malaysia sejak negara mencapai kemerdekaan tetapi masih mengekalkan jumlah 10,000.


“Tidak munasabah sama sekali nilai pada 1786 itu dibawa ke 2021 tanpa ada kajian tentang kenaikan, tiada kajian semula tentang nilai dan saya telah dimaklumkan oleh Sultan Kedah (Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah) bahawa baginda telah beberapa kali menyuarakan hal ini semasa Mesyuarat Majlis Raja-Raja Melayu serta kepada Kerajaan Persekutuan.


“Baginda juga telah membekalkan dokumen perjanjian berkaitan pajakan Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan dan akhirnya pada 2018, tanpa sebarang asas Kerajaan Persekutuan beri RM10 juta setahun. Jadi sekarang kita terima RM10 juta dan RM10,000,” katanya.


Beliau juga berkata jika Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta membuat penilaian spesifik mengenai pajakan melibatkan keseluruhan tanah Pulau Pinang termasuk Seberang Prai, nilai royalti tahunan yang harus dibayar mungkin mencecah antara RM400 juta hingga RM500 juta.

bottom of page