• newsatmy

Kegagalan bekal 6 kapal peronda bernilai RM9 bilion, PAC akan panggil Zahid Hamidi

Bernama

Disember 17, 2020 14:05 MYT



Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil oleh PAC Parlimen awal bulan depan, bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS). - Gambar fail


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) Parlimen akan memanggil bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi awal bulan depan, bagi melengkapkan prosiding berhubung kegagalan pembekalan enam kapal peronda generasi kedua Littoral Combatant Ship (LCS).


Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, turut akan dipanggil pada prosiding jawatankuasa itu adalah bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar dan kontraktor utama projek kapal LCS Boustead Naval Shipyard (BNS) Sdn Bhd.


"Pelantikan BNS Sdn Bhd dilakukan secara rundingan terus dan sehingga Oktober lalu, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, dan tidak ada sebuah kapal LCS siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS siap dibina setakat ini," katanya pada sidang media di Dewan Rakyat hari ini.


Wong berkata, isu itu dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/ Jabatan Persekutuan) dan Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), diterbitkan pada 2019.


Jelasnya, PAC Parlimen juga akan mengadakan lawatan tapak pembinaan kapal LCS di Lumut, Perak bulan depan.


"PAC Parlimen memandang serius isu kegagalan pembekalan enam kapal peronda LCS oleh Kementerian Pertahanan (MINDEF), membabitkan nilai perolehan sebanyak RM9 bilion.

"Kegagalan penyiapan kapal LCS amat serius, kerana ia membabitkan kelemahan dari segi tadbir urus, perolehan serta kewangan, tetapi memberi impak terhadap keselamatan dan pertahanan negara," katanya.


Wong berkata PAC Parlimen berpendapat bahawa suatu penyelesaian hendaklah diputuskan oleh kerajaan secepat mungkin, dan berikutan itu, adalah penting bagi PAC Parlimen untuk menyegerakan prosiding isu itu dan membentangkan laporannya ke Dewan Rakyat.

Beliau berkata, setakat ini empat mesyuarat dan prosiding dengan beberapa saksi telah dipanggil, antaranya Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz dan Pengerusi JKSTUPKK, Tan Sri Ambrin Buang.


"PAC Parlimen berhasrat untuk melengkapkan dan membentangkan Laporan PAC berhubung isu pembekalan enam kapal generasi kedua LCS ini ke Dewan Rakyat, dalam sidang Parlimen pada Mac 2021," katanya. - BERNAMA