Kejatuhan nilai ringgit tidak beri kesan? Kenyataan Zafrul mengelirukan - Anwar
KUALA LUMPUR,17 Sept: Kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz bahawa penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara, disifatkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kenyataan mengelirukan.
Tegas Anwar, kejatuhan nilai ringgit memberi kesan secara langsung kepada rakyat apabila kos barangan keperluan terus melonjak naik.
"Tengku Zafrul memberikan kenyataan yang sangat mengelirukan, nak kata dia tak faham, dia faham tetapi saya tidak faham kefahaman dia. "Nilai ringgit jatuh merudum, bukan jatuh, tapi merudum... dia jawab 'tidak memberikan kesan kepada ekonomi negara, kerana keutuhan ekonomi'.
"Saya tidak pernah urus bank, adalah pengalaman sikit sebagai Menteri Kewangan dan Pengerusi Development Community IMF World Bank. Jatuh begitu dalam suasana tidak ada krisis serantau adalah suatu yang parah," jelasnya.
Tambah Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu lagi, rakyat menderita akibat kos sara hidup meningkat, dan tidak (beri kesan) bagi seorang menteri.
"Kos makanan, barang keperluan asas, kos sara hidup meningkat dan import kos pertanian negara kita sudah mencecah RM65 hingga RM70 bilion. Ia meningkat kerana nilai ringgit jatuh jadi harga kian lebih mahal maka kos makanan meningkat.
"Dia jawab tiada kesan? Ya, tidak ada kesan bagi pak menteri dan pengerusi eksekutif bank dulu kerana gajinya RM9 juta setahun. Tapi orang lain nak makan apa?" tegasnya lagi.
Mengulas lanjut kata Anwar, jawapan Tengku Zafrul itu tidak bertanggungjawab dan bukan sebagai seorang Menteri Kewangan.
"Jawapan (Tengku Zafrul) sangat tidak bertanggungjawab. Bukan sebagai seorang Menteri Kewangan. Tidak layak seorang menjadi Menteri Kewangan kalau mengetepikan permasalahan ekonomi yang besar dengan melecehkan sebagai tidak ada kesan.
"Penipuan kepada rakyat, ini sebagai contoh jika bicara soal kelestarian," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Muktamar Sanawi ke-51 Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Kajang pada Sabtu.
Rabu lalu, Tengku Zafrul antara lain memaklumkan Malaysia tidak mengalami krisis ekonomi meskipun penurunan nilai ringgit berbanding dolar AS ketika ini.
Jelasnya, prestasi ringgit harus dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya dibandingkan dengan dolar AS kerana mata wang tempatan itu juga meningkat berbanding banyak mata wang utama lain.
Nilai ringgit ujarnya menyusut sebanyak 7.5 peratus berbanding dolar AS sejak 2022, dan situasi sama dicatatkan mata wang serantau dan negara maju lain -Astro Awani
Comments