• Arissa Azman

Kelayakan Piala Dunia: Denmark sah ke pusingan akhir selepas tewaskan Austria

13 Oktober 2021

DENMARK 1 AUSTRIA 0


Denmark menjadi pasukan kedua mengesahkan kelayakan untuk beraksi dalam Piala Dunia Qatar 2022 selepas menewaskan Austria 1-0 dalam perlawanan Kumpulan F di Copenhagen awal pagi tadi.


Jaringan tunggal Joakim Maehle dalam babak kedua sudah cukup untuk mengatasi skuad bimbingan Franco Foda, Austria, untuk kini berkelebihan tujuh mata di depan pencabar terdekat, Scotland, berbaki dua perlawanan.


Kemenangan tipis itu juga menyaksikan pasukan kendalian Kasper Hjulmand itu mengekalkan rekod kemenangan bersih dalam pusingan kelayakan Piala Dunia dengan lapan kemenangan tanpa dibolosi sebarang gol.


Denmark, yang terus membuktikan kekentalan barisan pertahanan mereka, telah merekodkan 27 gol tanpa balas, termasuk ketika menewaskan Moldova, Israel dan dua perlawanan menentang Austria untuk pasukan Scandinavian melakarkan rekod sempurna setakat ini.


Pasukan bimbingan Hjulmend itu memiliki tempoh 13 bulan menjelang kejohanan di Qatar berkenaan dan ia akan menjadi kesinambungan terbaik selepas layak ke separuh akhir Euro 2020 - sebelum disingkirkan England dalam masa tambahan.


Selain Denmark, Jerman merupakan satu-satunya pasukan yang terlebih dahulu mengesahkan kelayakan ke karnival bola sepak terbesar dunia itu selain pasukan tuan rumah, Qatar, yang layak secara automatik.