• newsatmy

Kelayakan Piala Dunia: Pogba terlepas dua perlawanan terakhir Perancis

9 NOVEMBER 2021

Paul Pogba mengalami kecederaan paha dan akan terlepas dua perlawanan terakhir Perancis dalam pusingan kelayakan Piala Dunia.


Pemain tengah Manchester United itu mengalami kecederaan berkenaan ketika latihan menyepak bola pada Isnin sebaik melepaskan rembatan yang tersasar.


Pogba dilihat menjerit kesakitan selepas melakukan sepakan itu dan kemudian terhincut-hincut meninggalkan padang latihan Perancis di Clairefontaine.


Persatuan Bolasepak Perancis (FFF) selepas itu mengesahkan bahawa Pogba tidak akan dapat diturunkan dalam perlawanan menentang Kazakhstan hujung minggu ini dan aksi menentang Finland tiga hari kemudian.


Jordan Beretout dinamakan sebagai pengganti dan Pogba dijangka akan meninggalkan rakan sepasukannya esok.


Biarpun kehilangan Pogba dilihat tidak akan memberikan kesan besar buat Perancis, yang akan mengesahkan kedudukan teratas Kumpulan D dengan satu lagi kemenangan, kecederaan itu tiba pada waktu yang buruk buat pemain berkenaan.


Pogba memulakan musim ini dengan amat baik bersama United tetapi mula mengalami kemerosotan dan kecederaan terbaru itu pasti akan menggugat peluangnya untuk kembali merebut tempat dalam kesebelasan utama Ole Gunnar Solskjaer.